PENDUDUK BIMBANG KUANTAN KEMBALI JADI ‘PLANET MARIKH’

Penduduk di Kuantan bimbang bandar itu kembali menjadi seperti ‘Planet Marikh’ akibat pencemaran bauksit.

Menurut Anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, keadaan ini disebabkan kurangnya ketelusan dalam prosedur untuk membersihkan stok bauksit.

Ini berikutan keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menarik balik penyitaan simpanan stok bauksit yang dianggarkan lebih 10 juta tan di Pahang.

Fuziah berkata selain memerlukan pelombong menandatangani perjanjian termasuk aku janji untuk tidak terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa, tiada maklumat mengenai bagaimana stok simpanan bauksit akan dibersihkan.

“Terdapat prosedur lain yang perlu diikuti, seperti berapa banyak tanah yang boleh anda bawa, bagaimana anda menutupnya, dan kelajuan lori. Kita perlu mempersoalkan bagaimana ini akan dikuatkuasakan.

“Oleh itu, kami orang Kuantan sangat bimbang ketika ini sama ada kita akan kembali ke Marikh,” katanya kepada Malaysiakini semalam, sambil mengakui keperluan untuk membersihkan stok bauksit sebanyak 10 tan itu.

Khamis lalu SPRM berkata ia akan menarik balik penyitaan simpanan stok bauksit yang telah dilaksanakan sejak 12 Ogos lalu.

Penyitaan itu pada awalnya dilaksanakan untuk memudahkan siasatan mengenai perlombongan bauksit haram dan menghalang bahan itu keluar daripada tempat penyimpanannya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata keputusan membatalkan penyitaan itu dibuat setelah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Jabatan Geosains dan Mineral serta kerajaan negeri Pahang bersetuju memperkenalkan peraturan baru bagi mengekang isu perlombongan bauksit haram.

Beliau berkata garis panduan baru untuk memastikan stok sedia ada dibersihkan dengan cara teratur juga telah disediakan dan langkah itu tidak membenarkan aktiviti perlombongan baru berlaku.

– M’kini

.