Pendakwah: Tolak guna istilah ‘Cina kafir’

Beberapa pendakwah berkongsi cerita tentang cabaran yang dihadapi mereka dalam usaha mendekati orang bukan Islam di negara ini.

Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Taufiq Yap Yun Hin dalam pembentangannya di seminar anjuran Persatuan Ulama Malaysia semalam mengeluh susulan kecenderungan umat Islam sering melabelkan orang Cina sebagai kafir.

“Kita tak perlu menggunakan istilah ‘Cina kafir’. Sebaliknya kita harus berdoa untuk mereka.

“Kita dah kafirkan dia sebelum kita dakwah dia. Kafir tu berdosa kita sebut kalau dia Islam.

“Kita tak boleh cakap macam itu, tak boleh guna istilah Cina kafir,” katanya di seminar yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam, Selangor.

Memetik majlis makan malam Tahun Baru Cina, ahli akademik itu menegaskan penting bagi pendakwah untuk memahami kepercayaan dan pantang larang masyarakat Cina.

“Makan bersama bagi orang Cina sangat penting. Meja bulat merupakan (lambang) penyatuan.

“Saya juga menyambut Tahun Baru Cina. Saya ambil kesempatan untuk berdakwah kepada ahli keluarga saya. Saya berikan mereka buku bahasa Mandarin mengenai Islam,” katanya.

Selain memahami jiwa orang Cina, Taufiq Yap mengakui salah satu cabaran untuk berdakwah kepada masyarakat tersebut adalah tanggapan mereka perlu menukar nama.

Menurutnya, nama-nama Cina tidak mempunyai unsur-unsur ketuhanan.

“Nama saya Yun Hin, bermaksud bahagia selama-lamanya. Bukankah itu makna yang baik?

“Tetapi orang Malayu apabila disebut nama Cina akan kata ia bukan nama Islam. Kita mesti lebih terbuka dalam perkara ini,” tegasnya. – M’kini

.