PENDAKWAH DARI AMERIKA SYARIKAT DILARANG MASUK SINGAPURA

YUSUF Estes dari Amerika Syarikat (AS) menjadi pendakwah ketiga yang dilarang masuk ke Singapura bulan lalu, susulan kaitannya dengan ceramah di atas kapal persiaran dalam satu program pelayaran kapal bertemakan Islam, lapor Today Online.

Sebelum ini Mufti Zimbabwe Ismail Musa Menk dan penceramah Haslin Baharim yang dikenali sebagai Ustaz Bollywood dari Malaysia dilarang ke republik itu atas alasan sama.

Menurut Today Online, Estes dilaporkan mungkin menjadi speaker atas kapal persiaran itu selepas Mufti Menk dan Haslin tidak dibenarkan menjejak kaki ke Singapura kerana ajaran mereka yang dikatakan “memecahbelahkan”.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura (MHA) mengeluarkan larangan itu terhadap Estes, 73, pada 24 November lalu atas sebab beliau dikatakan mempunyai “pandangan yang memecahbelahkan” dan “amalan eksklusif”.

MHA berkata sebagai contoh, Estes dalam satu video pada Mac 2012 berkata “Islam tidak meraikan perayaan agama lain” dan buka kepercayaan Muslim untuk mengucapkan selamat seperti “Merry Christmas” dan “Happy Hanukkah” kepada Kristian dan Yahudi.

Warga AS itu yang sebelum ini beragama Kristian sebelum memeluk Islam pada 1991, turut menerbitkan artikel di laman webnya pada Disember 2016, yang mempersoalkan asas agama untuk Krismas.

MHA dalam kenyataannya berkata larangan itu juga dibuat bagi menjaga keharmonian agama dan sosial di Singapura.

“Kerajaan tidak akan membenarkan pendakwah mana-mana agama pun untuk memfitnah agama lain dan sebelum ini permohonan dua pendakwah Kristian untuk berucap di Singapura juga turut ditolak kerana mereka membuat komen terhadap agama lain termasuk Islam dan Buddha,” kata MHA.

Pelayaran kapal persiaran Islamik itu meninggalkan Singapura pada Sabtu untuk ke Banda Aceh dan kembali semula pada Rabu.

Singapura mengharamkan Mufti Menk berdakwah di Singapura sejak 2015 sementara permohonan pas kerja Haslin ditolak awal tahun ini, lapor Today Online.

Untuk menyampaikan ceramah di Singapura, pendakwah perlu mendapatkan pas kerja, tetapi ia tidak diperlukan untuk kapal persiaran.

Satu notis disiarkan di laman web penganjur pelayaran kapal itu, Islamic Cruise, syarikat Malaysia berkata Estes dan isterinya Khadijah, akan berada bersama dalam kapal persiaran itu untuk “meraikan ulang tahun perkahwinan ke-25”.

Dalam laporan sebelum ini Mufti Menk menafikan beliau akan memberi kuliah di atas kapal pelayaran yang berlepas dan berakhir di Singapura dari 25 hingga 29 November itu.

Malah, katanya beliau hanya memenuhi tuntutan penganjur yang menghantar jemputan pada awal tahun ini.

Haslin juga meminta pihak berkuasa agama di republik itu memberi penjelasan tentang dakwaan mengatakan pengajaran agamanya boleh memecahbelahkan masyarakat.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.