PENDAKWA GUGUR TUDUHAN SABOTAJ TERHADAP KHAIRUDDIN DAN CHANG

Former Batu Kawan UMNO division deputy chief Khairuddin Abu Hassan (L) with his lawyer Matthias Chang (2nd R) raise their arms outside a magistrate court in Kuala Lumpur on October 12, 2015.

PENGGIAT masyarakat (Datuk Seri) Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang melangkah setapak lagi ke arah kemenangan dalam usaha mereka mendedahkan skandal 1MDB dan mencari keadilan bagi pihak rakyat jelata Malaysia.

[Komen “Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Hari ini Pendakwa Raya menarik balik tuduhan mensabotaj kewangan negara yang dikenakan ke atas mereka.
Gambar fail: Khairuddin (kanan) dan Chang
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Awang Armadajaya Awang Mahmud memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa beliau telah diarahkan untuk tidak meneruskan kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya adalah di bawah Jabatan Peguam Negara. Peguam Negara adalah (Tan Sri) Mohamed Apandi Ali.

Selaras dengan itu, pihak pendakwaan memohon agar kedua-dua tertuduh dilepaskan tetapi tanpa dibebaskan (acquitted not amounting to discharge).

Bagaimana pun Khairuddin dan Chang menolak penarikan balik pertuduhan tersebut sebaliknya menuntut agar mereka juga dibebaskan.

Peguam mereka, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, memohon agar mereka dibebaskan atas alasan pelepasan tanpa pembebasan membolehkan pihak pendakwa menuduh mereka semula.

Ini adalah kemenangan kedua bagi Khairuddin dan Chang. Terdahulu daripada itu, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan memerintahkan bahawa mereka tidak boleh dituduh di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Pada 18 November lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan mereka diikat jamin selepas memutuskan bahawa tuduhan yang dihadapi kedua-dua mereka bukan kesalahan keselamatan dan dengan itu tidak tertakluk di bawah Sosma.

Chang pada asalnya peguam Khairuddin dalam perangnya mendedah dan mencari keadilan berkaitan skandal penipuan 1MDB.

Tetapi kedua-dua mereka ditangkap dan dipenjarakan di bawah Sosma setelah membuat aduan di lima tempat di mana jenayah 1MDB disyakki dilakukan di antara 28 Jun dengan 26 Ogos tahun lalu.

Lokasi itu ialah pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris, Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom, pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern, Balai Polis WaiChan, Hong Kong, dan ibu pejabat Polis Cantoment, Singapura.

Mereka berdepan dengan kemungkinan dipenjarakan sehingga 15 tahun jika sabit kesalahan.

Kegigihan, kebaranian dan pengorbanan mereka serta peguam mereka adalah bukti bahawa bukan semua rakyat jelata Malaysia boleh diancam dan ditakut-takutkan dan kita masih boleh mengharapkan kehakiman untuk melakukan keadilan serta membuat tafsiran kepada undang-undang yang dibuat oleh Parlimen.

Wallahuaklam.

– http://kadirjasin.blogspot.my/

.