PENCIPTA NAMA PROTON SAGA MENINGGAL DUNIA

PENCIPTA nama kereta nasional pertama negara, Proton Saga, meninggal dunia akibat sakit tua semalam, lapor BH Online.

Ismail Jaafar, 71 meninggal dunia di rumahnya di Taman Nuri pada kira-kira jam 3.10 petang semalam. Beliau sebelum ini terlantar selama 51 hari di Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani.

“Kami sekeluarga reda dengan kehendak Allah. Arwah ayah sakit sudah lama, lebih lapan tahun. Malah, semasa mengerjakan ibadah haji tahun lalu, arwah turut dimasukkan ke hospital di Makkah.

“Saya dan keluarga bersyukur kerana arwah ayah dapat menunaikan segala kewajipannya di Makkah dan arwah seorang ayah yang bertanggungjawab, baik dan sukar dicari ganti,” anaknya, Mohd Sarisffuddin dipetik sebagai berkata oleh BH Online.

Ismail merupakan pesara tentera sejak 20 tahun lalu dan kali terakhir berkhidmat sebagai ketua kerani di Sekolah Tentera (Perkhidmatan kor) di Taiping , Perak.

Nama Proton Saga dipilih dari 102,823 penyertaan yang diterima oleh Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) yang menganjurkan pertandingan. Kereta nasional pertama negara itu dilancarkan oleh perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad pada 1 September, 1985.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.