PENAMPILAN KHAS SITI HASMAH KETUAI KUMPULAN KOIR

SHAH ALAM – Isteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengetuai koir yang menyanyikan lagu Negaraku pada pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Stadium Malawati, di sini, hari ini.

Nyanyian yang bermula jam 8.40 malam itu dimulakan sebaik sahaja Pengerusi Bersatu, Mahathir tiba di pekarangan stadium kira-kira lima minit sebelumnya.

Selain lagu Negaraku, Siti Hasmah bersama barisan koir turut menyanyikan lagu rasmi parti yang bertajuk ‘Perjuangan Kita’.

Turut menyempurnakan nyanyian termasuk Mahathir dan anak mereka, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang bersama-sama menaikkan bendera Bersatu di sudut kiri pentas.

Antara pemimpin yang dilihat hadir pada program malam ini termasuk Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

– Sinar Harian

.