PEMUDA UMNO KEDAH MOHON MB LEPAS JAWATAN KFA

Pemuda Umno Kedah hari ini menyatakan solidariti agar Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah serta seluruh kepemimpinan Umno negeri termasuk barisan exco menimbangkan kemungkinan melepaskan jawatan yang disandang dalam Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) serta-merta.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, cadangan itu dibuat bagi menjaga nama baik parti yang sering dijadikan kambing hitam oleh pihak berkepentingan dan menjadikan bola sepak sebagai medan mencetuskan amarah serta meraih simpati politik.

Katanya, insiden penyokong yang ‘mengeboo’ Ahmad Bashah di Stadium Shah Alam pada perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu lalu sesuatu yang tidak boleh diterima dan sangat mengecewakan.

“Beliau (Ahmad Bashah) telah melakukan pelbagai pengorbanan antaranya mencari dana berjumlah RM54 juta dalam tempoh dua tahun untuk pengurusan pasukan dan kebajikan pemain.

“Bukan itu saja, malah beliau merupakan individu yang bertanggungjawab mempertahankan harga tiket di Stadium Darul Aman pada kadar terendah berbanding di tempat-tempat lain untuk penyokong,” katanya pada sidang media di Alor Setar seperti dilaporkan Utusan Online, hari ini.

Shaiful Hazizy berkata, pengorbanan dan jasa Ahmad Bashah langsung tidak dikenang dan dihargai sehingga dimalukan di stadium tempoh hari.

“Justeru kami percaya, adalah lebih baik beliau serta seluruh kepemimpinan Umno Kedah termasuk mana-mana exco kerajaan negeri yang menyandang jawatan lain seperti setiausaha kehormat serta bendahari KFA melepaskan jawatan,” katanya.

Pada perlawanan akhir mempertemukan pasukan Kedah dan JDT itu berakhir dengan keputusan mengecewakan penyokong skuad Helang Merah apabila tewas 0-2.

Secara tradisi, jawatan pengerusi KFA disandang oleh menteri besar dan sebelum ini ia dipegang oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dipecat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

– M’kini

.