PEMUDA PAS: TESIS MUJAHID CADANG KERJASAMA UMNO-BN

Pemuda PAS menyerang bekas pemimpinnya Dr Mujahid Yusuf, yang kini memimpin parti serpihannya Parti Amanah Negara (AMANAH), dalam isu kerjasama dengan BN.

Menulis di Facebook, dewan itu berkata Mujahid dalam tesisnya di Universiti Malaya (UM) pernah mencadangkan PAS bekerjasama dengan Umno dan BN.

Anak bekas presiden PAS Yusuf Rawa itu juga dikatakan mencadangkan perundingan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan agar syariat Islam terlaksana.

“Namun, lain yang ditulis dalam tesis, lain pula yang diamalkan dalam politik,” menurut status di media sosial itu.

 

Badan itu turut memuatkan pautan kepada maklumat tesis Mujahid itu di laman web tesis dan disertasi UM.

Tesis dirujuk itu bertajuk “Konflik organisasi dalam parti Islam dan kesannya terhadap perubahan organisasi: Kajian Parti Islam Se-Malaysia di Melaka” yang dibuat pada 2007.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Mujahid berkaitan perkara itu.

MKINI

.