PEMUDA PAS CADANG BUKA PINTU RUNDINGAN DENGAN BERSATU, PKR

KOTA BHARU – Susulan tindakan PKR mengekalkan lantikan politik di Kelantan, Pemuda Pas mencadangkan pintu rundingan dengan PKR dan Bersatu boleh diwujudkan kembali.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, rundingan itu boleh berlaku dengan syarat ia tidak melibatkan DAP dan Amanah.

“Saya seacara peribadi mencadangkan (membuka) pintu rundingan dengan PKR dan Bersatu, syarat yang paling penting ialah tidak berkaitan dengan DAP dan Amanah. Saya optimis dengan perkara tersebut,” katanya.

Semalam, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir mengesahkan 67 lantikan politik PKR di Kelantan dikekalkan dalam satu tempoh yang tidak dinyatakan.

Aziz berkata, keputusan yang dibuat Mesyuarat Biro Politik Pusat itu berdasarkan alasan keperluan kerjasama parti itu dalam pentadbiran kerajaan negeri sebagaimana yang telah dinyatakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Fadhli yang juga Naib Ketua Pemuda Pas Pusat merakamkan tahniah kepada kepimpinan PKR negeri ini dalam mengekalkan lantikan politik mereka di Kelantan.

Katanya, tindakan itu melambangkan kematangan parti itu dalam membuat keputusan yang tepat untuk perjuangan menjelang PRU14.

“Keputusan itu juga bagi menghormati hak pengundi iaitu rakyat Kelantan yang memberi amanah kepada PKR pada PRU13 sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, keputusan itu juga membuktikan yang PKR tidak menjadi ‘pak turut’ kepada parti-parti lain dalam Pakatan Harapan yang sudah pastinya menekan mereka dalam isu tersebut.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda Pas Pusat berkata, malah ia membuktikan PKR mempunyai harga diri dalam mengekalkan pendirian mereka berhubung isu tersebut.

Mengulas mengenai program-program yang akan diadakan bersama antara PKR dan Pas negeri selepas ini, Ahmad Fadhli berkata, pihaknya akan meneruskan segala perancangan yang telah dibuat termasuklah yang melibatkan PKR negeri ini.

“Buat masa sekarang kita tidak mempunyai apa-apa halangan dengan PKR, kecuali dengan DAP dan Amanah,” katanya.

Lantikan politik PKR Kelantan melibatkan Penyelia Dun, Penyelia Parlimen, Anak syarikat GLC, Penghulu dan Ahli Majlis.

– Sinar Harian

.