PEMUDA PAKATAN HARAPAN BOIKOT DIALOG ANJURAN PAS

KOTA BHARU – Pemuda Pakatan Harapan negeri ini mengambil tindakan memboikot wacana terbuka ‘Kelantan Ambang PRU14, Parti Mana Bela Rakyat?’ yang bakal berlangsung di sini, malam ini.

Tindakan tersebut disuarakan dalam satu kenyataan bersama oleh Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Zulhazmi Hasan, Ketua Armada Bersatu Kelantan, Asran Alias, Ketua Angkatan Muda Kelantan (AMK), Hafidz Rizal dan wakil DAP Kelantan, Chu Keh Ching, di sini.

Wacana yang dijangka mengumpulkan ketua-ketua sayap utama Pas, Umno, Bersatu dan PKR dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) Pertahan namun diboikot berikutan sikap tidak profesional pihak penganjur yang langsung tidak mahu menjemput Ketua Pemuda Amanah Kelantan.

Menurut kenyataan tersebut, program itu diwar-warkan sebagai menghimpunkan Ketua-Ketua Pemuda Negeri bagi mewakili parti masing-masing untuk berwacana di atas tajuk tersebut.

Namun sikap tidak profesional pihak penganjur yang menafikan kehadiran Ketua Pemuda Amanah Kelantan menjadi sebab utama kenapa program sebegini sebenarnya sekadar membuang masa dan langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Kenyataan itu juga turut menyatakan perundingan telah dibuat agar wakil Pemuda Amanah Kelantan juga diberikan slot dalam program itu, namun ia masih gagal.

Presiden Pertahan, Nazman Che Ibrahim sebelum ini telah menyatakan wacana tersebut tidak melibatkan DAP dan Amanah memandangkan pihaknya telah mendapat arahan khusus untuk tidak mengaitkan apa-apa program dengan kedua-dua parti itu.

Selain itu juga, beliau memberitahu, kesemua panel sudah menyatakan persetujuan untuk hadir.

– SH

.