PEMUDA MCA: MP SEKIJANG PATUT BETULKAN FAKTA

Ahli Parlimen Sekijang Anuar Abd Manap tidak mendapat fakta yang betul sebelum mengkritik Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon kerana menolak peruntukan kurang daripada RM50 juta bagi sekolah-sekolah rendah Cina, kata Naib Ketua Pemuda MCA Nicole Wong.

Wong berkata terdapat percanggahan mengenai peruntukan berkenaan yang bertujuan untuk penyenggaraan dan pembangunan sekolah-sekolah Cina.

Beliau berkata kementerian kewangan mendakwa dana itu telah disalurkan kepada kementerian pelajaran, manakala Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mengesahkan kesukaran mendapat akses bagi dana berkenaan disebabkan pemotongan bajet.

“Ada sesuatu yang tidak konsisten antara kenyataan oleh Menteri Pendidikan dan juga Menteri Kewangan II. Sebagai Ahli Parlimen, Annuar perlu melaksanakan tugas dan mendapatkan menteri kabinet untuk bertindak dengan penuh tanggungjawab.

“Sebaliknya, beliau memilih jalan mudah menyerang Chong. Ia adalah jelas bahawa Anuar keliru dan tidak memahami tanggungjawab penuh wakil rakyat,” kata Wong.

Chong, yang juga timbalan menteri pendidikan Jumaat lalu berkata Pemuda MCA tidak akan menerima “bayaran separuh” daripada apa yang telah diperuntukkan oleh Putrajaya.

Ini menyebabkan Anuar, ahli exco Pemuda Umno mengkritik Chong kerana menjangkakan bayaran sekaligus.

Anuar juga mengkritik Chong kerana tingkah laku “biadap” beliau.
Minggu lalu, Mahdzir mengesahkan RM50 juta tidak boleh diakses sepenuhnya dan menasihatkan sekolah-sekolah Cina untuk “mengambil apa yang ada”.

Bagaimanapun, sekolah Tamil tidak berada dalam situasi yang sama.

Tidak dapat dipastikan jika sekolah aliran lain mempunyai kesukaran mengakses dana penyelenggaraan berkenaan, yang sepatutnya berjumlah RM500 juta bagi 2016.

– M’kini

.