PEMUDA DITAHAN BERSAMA 200 PIL KUDA ANAK HUSAM

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Husam Musa tampil mengakui anaknya ditahan bersama 200 pil kuda.

Dalam satu kenyataan malam ini, Husam menjelaskan beliau hanya mendapat tahu mengenai perkara itu melalui laporan Malaysiakini.

“Saya hanya mendapat tahu anak saya direman di Mahkamah Kota Bharu atas tuduhan memilik 200 biji pil kuda, jam 5.22 petang tadi (19 November 2017), apabila seseorang menghantar imej laporan Malaysiakini melalui WhatsApp.

“Sehingga kini, tiada pemakluman rasmi oleh polis dibuat kepada saya mengenai penahanan itu.

“Juga tiada pemakluman polis bahawa beliau akan dibawa ke mahkamah untuk tahanan reman pagi tadi.

“Saya juga tidak diberitahu sehingga kini di mana anak saya ditahan,” katanya.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu berkata, beliau hanya diberitahu oleh seorang jiran tempat anaknya ditahan sekumpulan lelaki petang semalam.

“Saya akan mengeluarkan kenyataan penuh mengenai isu ini selepas dapat menemui anak saya pada waktu terdekat diizinkan polis,” katanya.

Penahanan itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik.

Suspek ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kota Bharu kira-kira pukul 3.30 petang tadi di hadapan sebuah rumah di Kampung Jelutong, Jalan Pasir Mas-Salor, Kota Bharu, Kelantan.

– M’kini

.