PEMINDAHAN TANAH FELDA BERLAKU SEBELUM ZAMAN SAYA, KATA SHAHRIR

PENGERUSI Felda Shahrir Samad berkata perjanjian pemindahan hak milik tanahnya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur bermula sebelum beliau menjawat jawatan itu pada Januari 2017.

Ini memandangkan perjanjian jual beli antara Felda dengan pemaju swasta berkenaan yang menyebabkan agensi itu kehilangan 16 plot tanah ditandatangani pada Disember 2015 dan November 2016.

Tetapi semua lot itu, yang bernilai RM270 juta, didaftarkan pada Mac 2017 di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur – proses yang tidak diketahui oleh Felda  , kata Shahrir.

“Pendaftaran tidak dibuat oleh Felda tetapi PTG Kuala Lumpur. Pada Februari, Felda meminta untuk kaveat di tanah itu tetapi kami tidak berjaya dan ditolak oleh PTG,” kata Shahrir kepada wartawan di ibu pejabat Felda, semalam.

Beliau berkata hanya pada Mac, selepas PTG Kuala Lumpur mendaftarkan tanah itu di bawah nama pemaju Synergy Promenade snd bhd, Felda kemudian dibenarkan meletakkan kaveat di tanah itu.

Kaveat itu bagi menghalang pemilikan tanah itu sebelum dijual semula atau digunakan sebagai kolateral untuk mendapatkan pinjaman.

Shahrir mengulas dakwaan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang mendakwa semalam bahawa pemindahan plot bernilai RM270 juta itu berlaku dalam pengetahuannya.

Rafizi mendakwa pemindahan hak milik untuk bahagian tanah terbesar antara 16 bidang tanah itu iaitu Lot 29788 berukuran 25,058 kaki persegi didaftarkan pada 6 Mac tahun lepas.

Sementara itu, pemindahan untuk Lot 43 Seksyen 87A yang berukuran 107 kaki persegi didaftarkan pada 14 April tahun lepas.

Tanah itu sebelum ini dipindahkan kepada syarikat pembangunan Synergy Promenade Sdn Bhd (15) dan Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd (1).

Audit forensik terhadap pemindahan itu menunjukkan terdapat elemen penipuan dan salah guna kuasa dalam transaksi itu.

“Apa yang Rafizi katakan ialah pendaftaran tanah itu dibuat pada Mac, ketika saya jadi pengerusi, tetapi kami juga tidak tahu atau diberitahu tentang pendaftaran plot itu,” kata Shahrir.

“Apa yang kami tahu ialah perjanjian jual beli. Pendaftaran dibuat oleh PTG Kuala Lumpur.”

Felda menubuhkan jawatankuasa siasatan peringkat lembaga pengarah untuk menyiasat pembabitan pegawainya dalam transaksi tanah itu.

Rafizi yang juga naib presiden PKR turut membangkitkan persoalan berkenaan pemilikan tanah itu, susulan pemeriksaan di pejabat tanah menunjukkan dua syarikat masih didaftarkan sebagai pemiliknya.

Shahrir pada 15 Januari memberitahu media bahawa Felda sudah mendapatkan semula pemilikan terhadap 16 plot tanah itu.

“Apa yang saya kata ialah pemaju menyerahkan dokumen penting kepada kami supaya kami dapat memindahkan pemilikan tanah itu kembali kepada Felda,” kata Shahrir semalam.

Shahrir berkata agensi itu dalam proses menggunakan dokumen berkenaan untuk mendapatkan semula pemilikan terhadap plot tanah berkenaan.

– https://www.themalaysianinsight.com

.