PEMIMPIN UMNO ‘PANAS PUNGGUNG’ GARA-GARA MAHATHIR

ALOR SETAR – Pertemuan antara pemimpin Pakatan Harapan (Harapan) diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad bersama 16 duta negara Kesatuan Eropah (EU) menyebabkan pemimpin Umno ‘panas punggung’, sehingga mendakwa pertemuan itu membahayakan keselamatan negara.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, pertemuan itu bertujuan meminta delegasi EU mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan PRU14 secara adil dan saksama.

“Apabila pemimpin Umno cepat bertindak balas terhadap isu melibatkan antarabangsa, mereka resah seolah mahu menyembunyikan sesuatu dan terus menyalahkan Harapan kerana pertemuan itu,” katanya.

Mahfuz merujuk kepada reaksi beberapa pemimpin Umno yang menyifatkan pertemuan itu sebagai terdesak tidak berpegang pada prinsip.

Katanya, jika benar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengikut SOP yang ketat dan piawaian antarabangsa, kerajaan tidak perlu gusar dengan pemantauan negara luar.

“Kita cuma minta delegasi EU pantau perjalanan pilihan raya di Malaysia. SPR juga pernah diundang menjadi pemantau pilihan raya antarabangsa ketika negara lain adakan pilihan raya. Buktikan kepada dunia pilihan raya di Malaysia antara terbaik dan telus,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pemimpin Umno terus melenting kononnya mahu mempertahankan kedaulatan negara hingga mendakwa adapemerhati asing memantau PRU umpama membiarkan negara dijajah dan mencemar demokrasi negara.

“Pelik, sedangkan itu amalan negara lain di dunia. Memberi hak kepada pemantau memerhati pilihan raya adalah cara suburkan demokrasi,” katanya.

– Sinar Harian

.