PEMIMPIN UMNO MELAKA BELUM DIDAKWA

Sebuah mahkamah majistret di Melaka mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang pemimpin Umno negeri itu yang sepatutnya didakwa atas tuduhan rasuah semalam.

Menurut laporan NST, waran itu dikeluarkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun gagal diserahkan kepada lelaki terbabit.

Lelaki terbabit dijangka dihadapkan ke mahkamah semalam namun penantian ramai wartawan berakhir dengan kekecewaan apabila dimaklumkan kes itu akan didengar tidak lama lagi.

SPRM dijangka mendakwa ahli politik berusia 56 tahun itu atas tuduhan terbabit dalam dua kes rasuah melibatkan nilai rampasan RM150 juta.

Sumber memberitahu Malaysiakini, ahli politik tersebut mempunyai kaitan dengan pegawai atasan kerajaan Melaka.

Dia dipercayai akan didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

Sementara itu memetik kenyataan peguam lelaki itu, NST melaporkan, pendakwaan akan dibuat “tidak lama lagi” namun belum ada tarikh yang ditetapkan.

Kata Azrul Zulkifli Stork, dia sudah menghubungi SPRM dan diberitahu agensi antirasuah berkenaan akan memaklumkan perkembangan kes berkenaan kepadanya.

“Saya tak ada masalah (untuk memanggil pemberita membuat liputan) kerana kami yakin dan tidak ada rancangan untuk mengelak,” katanya.

Pada November lalu, SPRM merampas pelbagai aset bernilai lebih RM150 juta dalam bentuk wang tunai dan kenderaan serta pelbagai dokumen daripada ahli politik terbabit.
Suspek itu kemudian dibebaskan selepas membayar ikan jamin sebanyak RM100,000. Selepas ditahan selama 24 jam, lelaki itu menyambung khidmatnya seperti biasa.

Namun dia kemudian digantung tugas dan dilantik berkhidmat di Pusat Khidmat Umno Tangga Batu.

Untuk rekod, ketua Umno bahagian itu ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

– M’kini