‘PEMIMPIN UMNO-BN TAK USAH DATANG’: NAZRI

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tidak mengharapkan kehadiran pemimpin Umno-BN untuk hadir memberi sokongan ke sesi dialog yang melibatkan dirinya dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 25 Mac ini.

Kata Nazri, tujuannya menerima cabaran berdialog itu adalah untuk memberi penjelasan mengenai isu yang dibangkitkan kepada pihak pembangkang bukannya perwakilan Umno.

“Mengenai tetamu jemputan, saya serahkan semuanya kepada penganjur. Saya nak minta orang Umno-BN tak usah datang, saya tidak ada masalah jika seorang saja.

“Lagi bagus, saya bukan mahu bercakap dengan perwakilan Umno saya mahu bercakap dengan orang pembangkang,” katanya ketika ditemui di lobi, Parlimen.

Sabtu lalu, Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya sudah menerima permohonan daripada pihak penganjur untuk mendapatkan permit penganjuran dialog yang dijadual diadakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar pada jam 3.00 petang.

Beliau turut menjelaskan acara dialog itu tidak perlu disiarkan secara langsung memandangkan beliau mahupun Tun Mahathir tidak mewakili pihak kerajaan dan ketua pembangkang.

“Saya menerima cabaran ini secara individu dan pengundi di Padang Rengas.

“Tun Mahathir pula bukannya ketua pembangkang atau ketua Pakatan Harapan, jadi tidak ada keperluan untuk adakan dialog ini secara langsung,” katanya.

– SH

.