Pemimpin komponen BN tidak boleh lagi selesa

KUALA LUMPUR  – Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) mahu setiap ahli lebih bersedia dan berusaha keras selain tidak boleh lagi rasa selesa dengan kedudukan sekarang berikutan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat berterusan menggunakan pelbagai cara untuk menjatuhkan kerajaan termasuk merapati Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ini kerana tiada sesiapa yang dapat membuat penilaian tepat berhubung tujuan dan matlamat pertemuan di antara Dr. Mahathir dengan penasihat PKR itu baru-baru ini.

“Jangan berasa selesa kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Setiap parti komponen perlu mempersiapkan jentera untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah mengulas mengenai pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin yang mendakwa Dr. Mahathir hanya berminat untuk memperalatkan Anwar dalam gerakan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh pula berpendapat, UMNO dan BN seolah-olah sedang diejek oleh Dr. Mahathir yang dilihat cuba mengubah peribadi dan pendirian Anwar.

Malah, katanya, Dr. Mahathir dilihat terpaksa membuat satu pertemuan yang sangat tidak bermaruah demi kepentingan politik peribadinya sendiri.

“Sebelum ini, kita menganggap Dr. Mahathir seorang pejuang yang bermaruah, tetapi apabila usahanya cuba berbaik dengan rakan seterunya, tindakan itu dilihat hanya menjatuhkan maruahnya sendiri,” katanya.

Bagi Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S. K. Devamany, tindakan Dr. Mahathir dijangka oleh BN kerana beliau mempunyai dendam politik.

Menurutnya, pada waktu ini, setiap parti komponen perlu memperkuatkan dalaman, perpaduan dan akar umbi bagi menangkis menjatuhkan kerajaan.
– UTUSAN

.