PEMIMPIN DAP: MUNGKIN TUNKU AZIZ LEBIH MENGETAHUI

Pemimpin DAP di Johor dan Selangor tidak tahu-menahu mengenai dakwaan bahawa ada di antara mereka akan meninggalkan parti itu.

Semalam, bekas naib pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendakwa bahawa dua lagi pemimpin kanan DAP, masing-masing dari Johor dan Selangor dijangka bertindak keluar parti dalam masa terdekat.

Ketika dihubungi, Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata beliau tidak tahu jika ada pemimpin yang berhasrat untuk berbuat demikian.

“Mungkin Tunku Abdul Aziz lebih mengetahui,” kata Pua.

Jawapan hampir sama diberikan oleh Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.

Katanya, orang ramai perlu tunggu dan lihat sama ada dakwaan Tunku Abdul Aziz itu adalah sah dan akan menjadi kenyataan.

“Saya tidak pernah mendengar apa-apa. Kita akan tunggu dan lihat,” katanya.

Dakwaan Tunku Abdul Aziz itu susulan keputusan empat wakil rakyat DAP di Melaka yang bertindak keluar parti.

Mereka adalah Ahli Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him dan tiga ADUN Goh Leong San (Duyong), Lim Jak Wong (Bachang) dan Chin Choon Seong (Kesidang).
Mereka mendakwa bahawa DAP telah menyimpang daripada objektif teras dan mereka memohon maaf kerana mengelirukan orang ramai supaya menyokong PAS.

Berikutan itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memohon maaf kerana mempercayai kesetiaan keempat-empat wakil rakyat itu dan memilih mereka sebagai calon parti.

– M’kini

.