PEMIMPIN BUKAN ISLAM SARAWAK BIMBANG ‘PERKEMBANGAN AGAMA’ DI SEMENANJUNG

PEMIMPIN bukan Islam di Sarawak bimbang dengan perkembangan agama di semenanjung, takut ia boleh menjejaskan toleransi beragama di negeri Borneo, kata Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah.

Ada beberapa cadangan akan disampaikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Joseph Kurup yang bertanggungjawab mengenai perpaduan negara, dalam tempoh dua minggu lagi, untuk diserahkan kepada Kabinet persekutuan.

Uggah enggan mengulas kebimbangan itu, tetapi menyentuh salah satu daripadanya ialah ada kaitan dengan penarikan Seksyen 88A daripada Akta Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) untuk menghalang pertukaran agama anak kepada Islam secara sebelah pihak.

Klausa 88A menyatakan anak akan kekal dalam agama ibu bapa ketika perkahwinan didaftarkan dan boleh memilih agama dikehendaki apabila mencapai umur 18 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said bagaimanapun membentangkan pindaan rang undang-undang itu tanpa Klausa 88A pada persidangan Dewan Rakyat lalu, mencetuskan kritikan pembangkang yang mengatakan langkah itu untuk menenangkan PAS dan pengundi Melayu menjelang pilihan raya umum ke-14 sebelum Ogos tahun depan.

Pemimpin bukan Islam dari Sabah dan Sarawak turut membantah bila Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Pusat Hak Asasi Manusia (Centhra) Azril Mohd Amin mendesak pengharaman evangelisme Kristian di Malaysia, dua bulan lalu.

Terdahulu, pemimpin gereja Sarawak membatalkan All Borneo Revival Convocation di Miri selepas kumpulan pendesak Melayu membantah acara sama, Jerusalem Jubilee diadakan di Melaka.

Unggah berkata pemimpin bukan Islam Sarawak, yang juga ahli unit hal ehwal bukan Islam dalam jabatan ketua menteri, bimbang dengan apa yang berlaku di “sebelah sana” yang boleh menyebabkan perpecahan jika ia merebak ke negeri di mana umat Islam golongan minoriti.

“Maka kami akan membawa pandangan kepada Putrajaya,” katanya selepas menghadiri upacara keagamaan sempena Hari Kemerdekaan di Pusat Kristian di Kuching.

Uggah berkata unit hal ehwal bukan Islam yang akan mengawal selia dasar untuk mempromosikan keharmonian agama secara rasmi dinamakan “Unit for Other Religion”, atau Unifor.

Beliau yang juga menteri bertanggungjawab terhadap Unifor berkata 17 jawatan dalam unit itu sedang diisi.

Katanya, permohonan untuk mendapatkan dana dan tanah bagi pembinaan atau membaiki gereja atau kuil masih menjadi isu utama bagi Unifor.

“Unifor akan menjadi platform bagi bukan Islam untuk menyuarakan masalah atau isu berkaitan agama,” katanya.

Unit itu diilhamkan oleh bekas ketua menteri Adenan Satem yang meninggal dunia pada Februari.

Umat Islam membentuk kira-kira 23% daripada populasi Sarawak.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.