PEMIMPIN BN, UMNO ‘SERANG’ MAHATHIR SEBAGAI PM HARAPAN

Pemimpin BN, khususnya Umno terus memperlekehkan keputusan Pakatan Harapan untuk menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri jika gabungan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagi kebanyakan mereka, keputusan berkenaan ‘janggal’ memandangkan individu yang bakal dilantik itu adalah musuh utama mereka.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar menyifatkan HARAPAN ketandusan pemimpin dalam menamakan Dr Mahathir sebagai calon mereka.

“Pembangkang tak ada pemimpin, nasib baik Dr Mahathir masuk Pakatan Harapan, kalau saya masuk Pakatan Harapan pun akan diberi jawatan yang tinggi krana mereka tak ada pemimpin.

image: https://i.malaysiakini.com/1202/4b2b2f85b1cacf25febefc58c454ace5.jpeg

“Demi kepentingan politik dan rakus kuasa serta apa yang mereka sudah ludah, mereka jilat balik. Mereka mana ada pemimpin?

“Dulu dia kata Dr Mahathir diktaktor sekarang diktaktor inilah ketua mereka, biar mereka rasa bila diktaktor jadi pemimpin, raunglah kat bawah, demontrasilah kat bawah takkan Dr Mahathir dengar,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan di Perkampungan Orang Asli Kampung Gurney, Ulu Yam, hari ini.

Beliau turut merujuk tindakan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri jika memenangi PRU14 kelak.

“Kerajaan pembangkang heboh (rebut) jawatan walaupun belum lagi nak menang dan berebut siapa nak jadi perdana menteri, timbalan perdana menteri.

“kalau betul lah Tun Dr Mahathir bagi (jawatan perdana Meteri) pada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, maka ada rekodlah (negara) kita suami jadi perdana menteri dan isteri timbalan perdana menteri,” katanya.

Mudahkan BN

Bagi ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, pemilihan itu akan hanya memudahkan BN untuk menang pada pilihan raya umum akan datang.

image: https://i.malaysiakini.com/1125/72537e00c3aa1044fcc3ccef0291c66c.jpeg

“Pengumuman Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri mereka adalah berita baik untuk BN.

“Pakatan pembangkang selama bertahun-tahun memperkatakan mengenai reformasi dan peluang kepada golongan muda lebih kepada retorik semata-mata,” katanya menerusi Twitter.

Abdul Rahman berkata, adalah melucukan untuk melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan mengharapkannya melaksanakan pembaharuan.

“Pokoknya, Dr Mahathir tidak sinonim dengan inisiatif pembaharuan (reformasi) yang diumumkan pakatan pembangkang,” katanya turut menyifatkan pengumuman itu sebagai langkah strategik yang teruk.

“Akhirnya, pakatan pembangkang memilih seseorang yang mereka panggil sebagai orang paling korup di Malaysia sebagai Perdana Menteri. Sungguh memalukan,” katanya.

Gelaran Mahafiraun

Bagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Azlan Man, beliau sendiri tidak memahami bagaimana HARAPAN membuat keputusan itu.

“Saya tidak tahu, hanya mereka (Pakatan Harapan) yang tahu atau perumpamaan ‘hanya jauhari mengenal manikam’ sebab itu pilihan mereka sendiri.

“Kalau mereka tahu Dr Mahathir ini banyak kesalahan yang juga pernah digelar ‘Mahafiraun’ dahulunya, kini mereka sendiri lantik,” katanya yang dipetik akhbar Berita Harian Online.

Akhbar milik Umno itu juga memetik Azlan Man yang juga menteri besar Perlis menasihatkan seluruh ahli Umno agar tidak terlalu sentimental dengan Dr Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri dan presiden parti itu selama 22 tahun.

“Sekarang beliau (Dr Mahathir) bukan lagi ahli Umno, tetapi musuh Umno yang mengetuai sebuah parti lain (BERSATU.

“Kita juga tidak boleh hanyut dengan apa yang Dr Mahathir lakukan dulu sebagai perdana menteri.

“Kita akui beliau banyak sumbangan dan dalam masa sama Dr Mahathir juga ada kelemahannya,” katanya.

Rampas agenda pembangkang

Bagi Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Dr Mahathir licik berpolitik dan berjaya merampas agenda pembangkang untuk kepentingan dirinya sendiri.

“Memang Tun M politik ‘par excellence’ (bagus dalam parti politik) kerana sudah berjaya ‘hijack’ (merampas) perjuangan pembangkang untuk dirinya.

“Tun M tidak boleh lari bahawa dia dahulunya Umno juga. Jadi, sekarang dia sudah dapat ‘hijack’. Terserah pada orang untuk tafsirkan.

“Dulu, sebab nak memperjuangkan Anwar. ‘So’ sekarang dah dapat ‘stop’ itu. Dia ‘hijack’,” katanya.

Mahathir didakwa bersifat perkauman

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, pula berkata, DAP bakal berdepan hukuman setimpal daripada pengundi Cina selepas mereka belot dengan bersekongkol untuk menjadikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri semula.

“Generasi pelbagai usia tidak mungkin menaruh kepercayaan atau lupa dengan apa yang dilakukan Dr Mahathir, seperti siri insiden dan percaturan politiknya sebelum ini.

“Dr Mahathir meranapkan usaha Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra yang selama ini menegakkan dasar sekular Perlembagaan Persekutuan dan pengiktirafan hak pelbagai kaum pasca kemerdekaan.

“Selain penerbitan buku Tun M (Mahathir), Dilema Melayu yang bersifat perkauman, beliau bertanggungjawab mendalangi gerakan menyingkirkan dua Perdana Menteri, iaitu Allahyarham Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dasar berat sebelah

Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivaraajh Chandran, pula berkata pencalonan Dr Mahathir berita buruk kepada masyarakat India yang sebelum ini tersisih daripada arus pembangunan ketika pentadbirannya selama 22 tahun.

“Dasar berat sebelah yang digagaskan Dr Mahathir menyaksikan pegangan ekonomi masyarakat India di Malaysia terhakis, sehingga tercetusnya demonstrasi berskala besar menerusi perhimpunan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (HINDRAF) pada 2007.

“Ketika pentadbiran Dr Mahathir, jumlah doktor India juga berkurangan, manakala penggiat industri insurans terjejas sekali gus merencatkan peluang ekonomi untuk masyarakat kaum ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Dr Mahathir sendiri mengakui masyarakat India tidak diberikan khidmat sepatutnya sepanjang 22 tahun pentadbirannya.

“Kalau dalam BN yang mempunyai parti berasaskan masyarakat India pun beliau gagal mengotakan janjinya.

“Apatah lagi menerusi Pakatan Harapan dengan barisannya tidak langsung mempunyai pergerakan tunggal memperjuangkan kepentingan India?” katanya.

Konvensyen Pakatan Harapan semalam bersetuju menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri manakala Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pula calon timbalan perdana menteri sekiranya HARAPAN menang dalam pilihan raya kelak.

– M’kini

.