PEMILIHAN SEMULA CEC DAP IKUT SYARAT: ROS

PUTRAJAYA – Pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 12 November lepas mematuhi semua syarat yang diarahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

ROS dalam kenyataannya hari ini berkata, keputusan itu adalah berdasarkan rumusan yang diperoleh daripada  siasatan ROS.

“ROS bersetuju supaya laporan penuh pelaksanaan pemilihan semula tersebut disimpan oleh firma Grant Thornton mengikut tempoh masa wajar sepertimana keperluan perlembagaan Parti.

“Surat rasmi memaklumkan keputusan Pendaftar Pertubuhan Malaysia akan dikeluarkan pada Isnin (5 Februari),” menurut kenyataan itu.

DAP mengadakan pemilihan semula CEC di Ideal Convention Centre Shah Alam (IDCC) Selangor seperti diarahkan oleh ROS  melalui surat bertarikh 21 September tahun lepas.

Firma audit antarabangsa, Grant Thornton yang dilantik DAP, telah mengemukakan laporan penuh pelaksanaan pemilihan semula CEC DAP melalui surat bertarikh 27 November lalu.

Pemilihan semula CEC itu diadakan selepas ROS menerima aduan mengenai pemilihan CEC DAP pada  2012 dan pemilihan semula CEC DAP pada 29 September 2013.

Menurut ROS, jabatan itu menerima 17 aduan berhubung pemilihan semua CEC itu daripada Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sejak 28 November lalu.

Ia berkata, daripada  17 aduan yang diterima, hanya lapan pengadu sahaja yang mempunyai maklumat lengkap dan hadir memberi keterangan berkenaan aduan yang dibuat.

“Baki sembilan lagi, maklumat pengadu adalah tidak lengkap. Selain itu, terdapat juga pengadu yang tidak memberikan kerjasama untuk memberi keterangan. Bagaimanapun, jabatan berpuas hati dengan siasatan yang dilaksanakan, dan kesemua aduan telah ditutup,” kata ROS.

Sementara itu, ROS mengingatkan setiap parti dan pertubuhan berdaftar supaya mentadbir dan menjalankan setiap urusan parti dan pertubuhan mengikut kehendak Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan perlembagaan berdaftarnya.

– Bernama

.