PEMBANTU SIVARASA PULA HILANG, BERSIH TERKEJUT

Kumpulan reformasi pilihan raya, BERSIH berasa terkejut dengan kehilangan seorang lagi aktivis sosial.

Kes terbaru melibatkan Peter Chong, pembantu kepada Ahli Parlimen Subang dari PKR, R Sivarasa.

Chong merupakan orang kelima terlibat dalam aktiviti politik atau agama yang dilaporkan hilang sejak bulan November tahun lalu.

“Peter telah hilang selama lebih daripada dua hari. Anaknya telah membuat laporan polis tetapi sehingga kini, tidak ada sebarang berita mengenai lokasinya.
“Sesungguhnya, adalah amat menyedihkan bagi semua rakyat Malaysia dengan individu hilang sedang berlaku di negara kita, hanya ada sedikit jaminan atau berita daripada polis mengenai usaha mengesan orang yang hilang,” kata jawatankuasa pemandu BERSIH dalam kenyataan, malam ini.

Empat individu lain yang telah hilang sejak bulan November termasuklah paderi Joshua Hilmy dan isterinya Ruth, aktivis Hope dari Perlis, Amri Che Mat dan paderi Raymond Koh.

– M’kini