PEMBANTU ROSMAH: SHEILA MAJID HIDUP SELESA, PATUT HARGAI BN

RATU jazz tanah air Sheila Majid hari ini diserang hebat oleh pembantu Rosmah Mansor ekoran  luahan penyanyi itu di Twitter mengenai tekanan ekonomi yang dihadapi rakyat negara ini.

Pembantu Rosmah, Rizal Mansor dalam kenyataannya menyifatkan Sheila sebagai “alat propaganda pembangkang” kerana membangkitkan isu politik melalui Twitter.

Dengan sinis, Rizal berkata Sheila merungut mengenai kos sara hidup tinggi sedangkan tiket konsert Shiela Ogos lalu terjual dengan harga semahal RM888.

“Ya, betul anda adalah ratu jazz negara dan dianggap lagenda yang punya ramai peminat tetapi mampukah mereka untuk membeli tiket konsert yang berharga sehingga RM888 itu terjual jika ekonomi negara begitu terjejas.

“Mampukah para peminat anda yang mungkin kebanyakannya golongan umur pertengahan mampu membayar tiket konsert semahal itu jika benar hidup mereka terhimpit dan berada dalam kesusahan sejak beberapa bulan yang lalu,” kata Rizal.

Tambahnya, ratu jazz itu patut berterima kasih kepada Barisan Nasional atas kerja keras selama ini sehingga membolehkan Sheila hidup selesa dan mewah selain menerima pelbagai tawaran persembahan di acara korporat.

Rizal juga berkata, Perdana Menteri Najib Razaj juga sentiasa bekerja keras membawa masuk pelaburan bagi mencipta peluang pekerjaan, menguatkan ringgit dan membebaskan rakyat dari beban sara hidup tinggi melalui inisiatif seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Tambah Rizal, sebagai artis veteran yang banyak pengalaman dan pengaruh, Sheila sepatutnya faham bahawa banyak hal dalam ekonomi yang bukan dalam kawalan kerajaan.

Jelasnya, perkara itu berlaku akibat faktor luaran sehingga nilai ringgit menyusut dan peluang pekerjaan makin mencabar.

Dalam kenyataannya di Twitter semalam, Sheila antara lainnya membangkitkan tekanan ekonomi dan sosial yang ditanggung oleh masyarakat.

“Makanan mahal, ringgit lemah, kos sara hidup tinggi dan kerja kurang. Rakyat Malaysia jadi letih dan marah sebab diperas atas hutang yang kita tak buat.

“Hentikan buat alasan dan cari kesalahan. Fokus kepada kembalikan negara kita ke landasan sebenar! Mengecewakan,” kata Sheila yang mempunyai 214,000 pengikut di Twitter.

Tulisan itu dikongsi lebih 18,000 kali, selain menarik 11,000 likes dan 380 komen di laman sosial itu.

Terdahulu, Rizal mensasarkan kritikannya ke atas seorang lagi artis popular, pelakon muda Nur Fathia Latiff yang mempersoalkan tindakan kerajaan untuk mendakwa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di mahkamah.

Ia berhubung tuduhan di mahkamah atas kerugian dialami kerajaan akibat perdagangan tukaran wang asing (forex) Bank Negara.

Menulis di Twitter, Nur Fathia mempersoalkan mengapa kerajaan mengangkat isu yang berlaku pada tahun 1990-an itu menjadi lebih utama berbanding siasatan ke atas skandal 1MDB.

Mengulas kenyataan Nur Fathia, Rizal berkata pelakon muda itu sepatutnya memperbetulkan fakta.

“Tulis bila awak rasa betul dan perlu,” kata Rizal.

– https://www.themalaysianinsight.com

.