PEMBANTU ROSMAH: MAHATHIR PERLU DENGAR KEPUTUSAN ‘BANDUAN’

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali jarang sekali mendapat sokongan atau persetujuan daripada pihak kerajaan BN berhubung apa yang dilakukannya lebih-lebih lagi dari pentadbiran Putrajaya.

Namun hari ini, secara tidak disangka Datuk Seri Rizal Mansor, pembantu kepada isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak – Datin Seri Rosmah Mansor – bersetuju dengan kenyataan timbalan presiden PKR itu yang mengingatkan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pakatan Harapan.

“Saya setuju dengan peringatan Azmin bahawa Dr Mahathir kena hormat Anwar sebagai ketua umum pakatan pembangkang lebih tinggi daripada Pengerusi Pakatan Harapan (jawatan Mahathir),” katanya.

Beliau berkata Mahathir mesti mendengar dan menghormati keputusan Anwar berhubung rundingan dengan PAS walaupun bekas timbalannya itu kini adalah seorang banduan.

Rizal berkata Mahathir mesti berbuat demikian jika benar bekas perdana menteri itu tidak lagi menaruh dendam dengan Anwar yang dipecatnya pada tahun 1998.

“Kesianlah pada Anwar yang terus bercita-cita nak jadi PM dan janganlah Mahathir hijack pula pakatan pembangkang dengan menjadikan anaknya, Mukhriz sebagai PM ke-7.

“Sudahlah Mahathir ranapkan cita-cita Anwar untuk jadi PM ke-5, takkanlah Anwar sanggup lagi menunggu untuk menjadi PM ke-8 pula.

“Justeru, Mahathir kenalah dengar jugak cakap Anwar, untuk kali ini sahaja,” katanya.

Terdahulu hari ini, Azmin memberi peringatan kepada Mahathir ketika mengulas kenyataannya semalam bahawa warkah Anwar dari penjara menyebabkan masalah kepada gabungan itu kerana ia memberi lampu hijau kepada PKR terus berhubung dengan PAS.

Azmin berkata sebagai ketua umum pakatan pembangkang, Anwar mempunyai hak untuk menasihatkan HARAPAN.

Surat Anwar itu dikeluarkan selepas Majlis Presiden Harapan memutuskan untuk menamatkan perbincangan dengan PAS dan bersedia untuk pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya umum akan datang.

Pembangkang dan PKR berbelah bahagi berhubung isu ini.

Mereka yang mahu rundingan itu diteruskan mendakwa bahawa pertandingan tiga penjuru akan memberi manfaat kepada BN sedangkan mereka yang menentangnya berpendapat bahawa pintu untuk rundingan telah ditutup.

– M’kini

.