PEMBANTU ROSMAH KECAM ‘KEJAHILAN BERBAHAYA’ MARIA

Datuk Rizal Mansor berkata Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah tidak memahami budaya saling menghormati rakyat negara ini apabila mendakwa setiap seorang mempunyai cara berbeza menunjukkan kemarahan.

“Maria Chin seolah-olah tidak sedar tindakan tindakan penyokong BERSIHmenyebabkan kemarahan mendalam dan rasa jijik sebahagian besar rakyat Malaysia yang menolak tindakan mengejek pemimpin kaum lain menggunakan amalan tradisi sesuatu bangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rizal berkata demikian bagi mengulas reaksi Maria Chin terhadap kenyataan pembantu isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor itu.

Semalam Malaysiakini melaporkan Rizal mempertikaikan Maria Chin kerana bersikap pilih apabila tidak bersuara terhadap penunjuk perasaan BERSIH yang membina kubur olok-olok untuk Datuk Seri Najib Razak Rosmah pada perhimpunan lalu.

“Memang patut Maria Chin buat laporan polis berkenaan gambar edit IS dengan wajah beliau. PDRM wajib menyiasat perkara ini.

“Tetapi saya pelik dan hairan mengapa Maria Chin langsung tidak bersuara bila pendemo BERSIH tahun lepas membuat aksi kubur olok-olok untuk PM dan isterinya?

“Lebih dahsyat apabila ada juga yang menjalankan acara pengebumian tradisional Cina juga,” tulis Rizal di Facebooknya.

Maria Chin kemudian menjawab gerakan mendesak reformasi pilihan raya itu menghormati hak rakyat untuk menyatakan perbezaan pendapat.

Apabila marah, katanya, orang menunjukkan kemarahan dengan cara yang berbeza.

“Ia bukan mengenai berdiam diri. Orang melakukan pelbagai perkara tetapi tidak berbahaya.

“Ia tidak membawa keganasan fizikal kepada sesiapa jua. Bagi saya, ia bukan tentang berdiam diri, ia mengenai membenarkan ruang untuk rakyat menyatakan kemarahan.

“Itu lebih penting daripada menjadikannya suatu jenayah,” ujar Maria Chin.

Kata Rizal Maria Chin boleh dipersoalkan kedudukannya sebagai rakyat sebenar Malaysia apabila tidak memahami kesan tindakan peserta BERSIH menggunakan penyapu pada gambar pemimpin negara pada perhimpunan sebelum ini.

Rizal turut mendakwa Maria Chin cuba mempertahankan tindakan yang menyebabkan pihak lain terluka dan marah.

“Dengan ini dia menghalalkan pengulangan kejadian itu, atau kejadian lebih teruk lagi selagi ia dianggap hak seseorang untuk meluahkan kemarahan atau perbezaan pendapat.

“Bagaimana jika seseorang itu marah pada agama atau kaum lain? Apakah tidak menjadi kesalahan untuk menyatakan kemarahan melalui apa juga cara sebagai hak anda berbeza pendapat?” katanya.

MKINI

.