PEMBANTU ROSMAH: BERSIH ADA 5 AGENDA POLITIK

KUALA LUMPUR – Bersih 5 kini didakwa sudah dipengaruhi unsur politik dan kepartian serta mula terpesong daripada agenda asalnya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khas Pejabat Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor mendakwa, tindak tanduk gerakan yang kononnya dibuat untuk menreformasikan pilihan raya di negara ini sudah dilihat mula mempunyai kepentingan politik.

Sambil melontarkan pertanyaan kepada Maria Chin adakah ucapan-ucapan yang dilaungkan pada Bersih 4 tahun lalu boleh dianggap berunsur politik atau kepartian, Rizal mendesak pemimpin Bersih itu menyatakan pendirian yang jelas.

“Adakah Maria Chin dan Bersih berani untuk mengisytiharkan bahawa Bersih sekarang ini adalah bebas dari unsur politik dan kepartian?

“Adakah hasutan supaya rakyat menolak parti politik tertentu adalah sebahagian daripada agenda Bersih untuk mereformasikan pilihanraya?” katanya dalam entri terbaharu di akaun peribadi Facebook.

Rizal merujuk kepada siri ucapan dan tindakan peserta Bersih 4 tahun lalu yang mendesak pemimpin negara berundur dan ia jelas menunjukkan Bersih sudah lari dari matlamat asal.

Beliau turut memuatnaik beberapa video dari laman FB miliknya sebagai bukti kepada dakwaan tersebut.

Rizal menjelaskan, hakikatnya Bersih sebenarnya tidak ‘Bersih’ apabila kini meminta Setiausaha Agong DAP yang dituduh dengan dua pertuduhan rasuah melancarkan Bersih 5 di Pulau Pinang.

Menurut beliau, di sebalik suara desakan-desakan yang mahu Lim Guan Eng berundur dari jawatan Ketua Menteri termasuk oleh Ambiga dan Tony Pua sebelum ini jika beliau didakwa atas tuduhan rasuah, namun Guan Eng masih berkuasa sehingga hari ini.

“Apabila cukup terang lagi bersuluh Bersih adalah gerakan bermotifkan politik dan kepartian, adalah elok bagi semua pemimpin dari semua agama untuk menghalang atau mengajak sesiapa pun daripada menyertai sebarang aktiviti anjuran Bersih.

“Sudah jelas gerakan Bersih adalah gerakan tidak demokrasi dan memiliki unsur menjatuhkan kerajaan serta pemimpin melalui cara yang salah. Ia bertentangan dengan ajaran semua agama di negara ini,” katanya.

SINAR HARIAN