PEMBANGKANG TIDAK BACA BERITA: ABDUL RAHMAN

SHAH ALAM – Tindakan kerajaan yang akan membuat pelaburan dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pembelian pesawat oleh Malaysia Airlines bukan perkara baharu dan ia sudah pun diberitakan sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, tindakan pembangkang yang seolah-olah tidak percaya keputusan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk menyumbang kepada aliran perdagangan dan pelaburan Amerika Syarikat (AS).

“Saya berasa tidak percaya apabila banyak pemimpin Pakatan seolah-olah tidak pernah membaca berita sejak beberapa tahun yang lepas.

“Contohnya, mereka terkejut apabila mendapat tahu KWSP telah pun membuat pelaburan berjumlah AS$7 bilion di dalam pasaran ekuiti AS dan mempunyai perancangan untuk menambah pelaburan sehingga AS$3 bilion,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang beberapa tahun lalu KWSP mengeluarkan beberapa kenyataan yang menunjukkan organisasi itu telah mempelbagaikan pelaburan di luar negara.

“ini adalah untuk mengurangkan risiko dan memaksimakan pulangan. Setakat suku pertama 2017, julah aset pelaburan KWSP mencecah RM747 bilion di mana nilai pasaran semua syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia adalah sekitar RM1.7 trilion.

“Disebabkan saiz dana KWSP yang begitu besar, pelaburan asing adalah suatu keperluan dan bukan hanya sekadar pilihan,” jelasnya.

Sehubungan itu, KWSP membatalkan sekatan ke atas 30 peratus had pelaburan asing untuk Skim Pelaburan Ahli KWSP dan membenarkan ahli-ahlinya melabur sepenuhnya di dalam pelaburan luar negara.

Jelas Abdul Rahman lagi, keputusan menunjukkan pelaburan luar negara yang mewakili 29 peratus daripada jumlah pelaburan KWSP menyumbang kepada 37 peratus pulangan pelaburan di dalam suku pertama 2017.

“Sepanjang dua tahun lepas, KWSP secara khususnya menyebut pulangan pelaburan luar negara yang memberangsangkan membolehkan KWSP untuk memberi dividen yang baik walaupun berdepan dengan pasaran domestik yang perlahan.

“Ia mengejutkan apabila ahli politik pembangkang seolah-olah tidak sedar tentang perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman turut menegaskan pembelian pesawat yang akan dibuat MAS bukan perkembangan atau berita baharu.

“Pada Julai 2016, ia sudah dilaporkan secara meluas, MAS sudah menandatangani perjanjian untuk membeli 50 buah pesawat Boeing 737 MAX dengan pesanan untuk 25 pesawat dan hak untuk membeli 25 lagi pesawat di dalam urusniaga yang dinilaikan sejumlah AS$5.5 bilion pada harga disenaraikan.

“Bersamaan dengan itu, pada Ogos 2017, media melaporkan dengan kejayaan pengstrukturan semula MAS dan pertumbuhan memberangsangkan, ia sudah pun berada di dalam perbincangan mendalam untuk membeli 30 blpesawat Boeing 786 atau pesawat Airbus untuk membenarkan MAS terus mengembangkan laluan udara dan perniagaan mereka,” katanya.

Bagaimanapun jelasnya, ia mengejutkan ahli politik pembangkang.

“Mereka mempersoalkan motif MAS yang sudah lama dirancang seperti ianya keputusan yang tiba-tiba dibuat sedangkan mereka sepatutnya memuji kejayaan pengstrukturan semula MAS.

“Ramai ahli politik pembangkang nampaknya tidak sedar pada Mac 2017, kerajaan AS mahu menyiasat Malaysia sebagai ‘penipu dagangan’ disebabkan lebihan dagangan Malaysia dengan AS yang berpanjangan,” katanya.

Menurutnya, tiada salahnya untuk Najib memberi jaminan kepada AS, Malaysia memahami perdagangan adalah dua hala dan terdapat aliran perdagangan dan pelaburan yang agak besar dari Malaysia ke AS.

– Sinar Harian

.