Pembangkang tak akan dapat sebarang manfaat

SHAH ALAM – Pembangkang tidak akan memperoleh sebarang manfaat sekiranya menggunakan isu persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya mengejut.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, isu persempadanan semula juga dilihat tidak dekat dengan rakyat dan hanya dibicarakan di kalangan pemimpin sahaja.

“Sekiranya ingin mengadakan pilihan raya mengejut, ia bergantung kepada isu dan agenda yang dibawa supaya dekat dengan rakyat serta masyarakat.

“Kemenangan dalam pilihan raya itu bergantung kepada isu serta agenda yang dibawa oleh setiap parti,” katanya kepada Sinar Online hari ini.

Sebelum ini, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong mendakwa, DAP akan mempergunakan syor persempadanan semula bahagian pilihan raya oleh SPR untuk mengadakan pilihan raya mengejut di negeri ditadbir pembangkang.

Dalam pada itu, Marthada berkata, isu pelaksanaan pilihan raya mengejut adalah merupakan satu retorik memandangkan cadangan persempadanan semula oleh SPR itu tidak akan terlaksana tanpa mendapat kelulusan daripada Parlimen.

“Ini (persempadanan semula) hanya di peringkat cadangan dan ia belum lagi dilaksanakan malah mana-mana pihak yang tidak bersetuju boleh membantah di parlimen selepas ini,” katanya.

Tambah beliau, buat masa ini, isu pilihan raya mengejut dan persempadanan semula masih terlalu awal untuk dikaitkan antara satu sama lain memandangkan ia hanya berada di peringkat cadangan sahaja. – Sinar Harian

.