PEMBANGKANG PUTAR BELIT ISU PENJAWAT AWAM MEMFITNAH

SHAH ALAM – Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyifatkan tindakan pembangkang yang cuba memutar belit fakta mengenai isu seorang penjawat awam di Perlis yang digesa supaya dipecat kerana memfitnah kerajaan sebagai ‘tin kosong’.

Beliau turut menempelak pihak pembangkang yang membuat tuduhan tidak berasas kepada kerajaan selepas hanya membaca tajuk kenyataan media mengenai isu berkenaan yang dikeluarkan oleh Pemuda Umno Perlis.

“Maksud Pemuda Umno Perlis itu adalah untuk dikenakan tindakan kepada pihak yang didapati memfitnah dan menyebar maklumat palsu… jangan jadi tin kosong dan hanya baca tajuk sahaja, perincikanlah isinya juga,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Aspirasi TN50 Sime Darby Property di sini, hari ini.

Semalam, Pemuda Umno Perlis membuat satu laporan polis supaya siasatan dan tindakan diambil terhadap seorang pegawai kanan kerajaan atas dakwaan memuat naik dan berkongsi status di Facebook miliknya, yang memburukkan pemimpin tinggi negara.

Pembangkang bagaimanapun menuduh Pemuda Umno cuba menggunakan cara memecat kakitangan awam yang anti kerajaan bagi mencipta peluang pekerjaan baharu kepada golongan muda.

Menurut Khairy, masyarakat termasuk penjawat awam yang dikesan menyebarkan maklumat palsu dan memfitnah mana-mana pihak boleh dikenakan tindakan seperti mana yang diperuntukkan dalam undang-undang negara.

Jelasnya, tindakan menyalahgunakan media sosial untuk menabur fitnah boleh diambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Malah, sekiranya perilaku memfitnah dan menyebar maklumat palsu itu dibuat oleh penjawat awam, maka individu terbabit boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut Peraturan Am Perkhidmatan Awam,” katanya.

– Bernama

.