PEMBANGKANG PERLU FAHAM HAK PM SEBELUM PERTIKAI – NAZRI

PADANG RENGAS – Pembangkang perlu memahami hak-hak seorang perdana menteri sebelum mempersoalkan tentangnya, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata mempertikaikan hak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan pesawat peribadi untuk sebarang kunjungan sama ada rasmi atau tidak seakan-akan mencerminkan kebodohan pembangkang.

Katanya tidak seperti menteri biasa yang hanya dibenarkan menaiki pesawat komersil, perdana menteri mempunyai keistimewaan menggunakan pesawat peribadi sama ada untuk urusan kerja atau bercuti.

“Prosedur operasi standard (SOP) keselamatan perdana menteri perlukan 24 jam pengawal peribadi tidak kira ke mana pun. Jadi, kalau perdana menteri hendak bercuti, dia bukan hanya bercuti dengan anak serta isteri tetapi perlu membawa pengawal peribadi.

“Datuk Seri Najib pernah menjadi menteri, timbalan perdana menteri dan kini perdana menteri. Jadi, beliau tahu apa yang boleh dan tak boleh,”katanya kepada pemberita selepas Program Anggota Parlimen Padang Rengas Bersama Rakyat di Dewan Kampung Tanah Merah di sini, Sabtu

Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang mempertikaikan percutian Najib bersama ahli keluarganya ke Australia pada hujung tahun lepas yang dianggap sebagai pembaziran.

Nazri yang juga Anggota Parlimen Padang Rengas berkata perkara itu tidak sepatutnya diperbesarkan dan mendakwa beberapa anggota pembangkang turut menaiki pesawat peribadi yang ditaja orang tertentu baru-baru ini.

-Bernama

.