PEMBANGKANG PECAH TIGA, PENGUNDI HANYA PECAH DUA

Pertembungan tiga penjuru barangkali sudah terlalu sukar untuk dielakkan daripada berlaku dalam pilihanraya umum akan datang.
Pihak yang teringin sangat kepada pertandingan tiga penjuru, selain Najib Razak, UMNO dan BN, ia juga seolah-olah suatu keseronokan bagi Pas.
Sebab itu, Pas yang berstatus pembangkang, tidak lagi menyerang UMNO dan BN sekarang ini. Najib pula sudah jadi sahabat karib mereka.
Yang selalu, bahkan hampir setiap hari diserang Pas ialah pembangkang juga iaitu Pakatan Harapan, khususnya Tun Mahathir Mohamad dan DAP.
Lebih fasih mulut pemimpin Pas mengatakan mengundi Pakatan Harapan sama seperti mengundi DAP berbanding hakikat bahawa mengekalkan UMNO dan BN lagi akan terus memberi kesusahan dan kesengsaraan kepada kehidupan rakyat melalui kenaikan kos sara hidup yang tidak terkawal serta kemungkinan GST akan dinaikkan peratusannya.
Amanah yang sebahagian besar pemimpinya merupakan bekas pemimpin Pas juga merupakan musuh utama Pas ketika ini. Di mata Pas, pemimpin Amanah lebih jahat dan teruk berbanding UMNO yang suatu ketika dahulu pernah mereka kafirkan dan ragui keIslamannya.
Melihat kepada gaya politik Pas sekarang, menang atau kalah dan berapa jumlah kerusi yang mampu dimenangi tidak lagi penting buat mereka. Sangat penting bagi Pas hanyalah memastikan pertandingan tiga penjuru menjadi kenyataan.
Tidak tahu apa upah atau ganjaran yang bakal diperolehi oleh Pas di sebalik perubahan haluan politik mereka itu. Mungkin sudah ada fatwa atau hadis baru yang membolehkan menyokong politik suku dan agama suku atau bersama pemimpin yang diragui menjanjikan lebih besar pahalanya lagi.
Tetapi, itulah realitinya. Pas lebih seronok menyerang Pakatan Harapan dan memungkinkan tiga penjuru menjadi kenyataan berbanding menolak keburukan UMNO, BN, kerajaan dan BN yang terang-terang terbentang menjadi pengetahuan seluruh pancaindera dunia.
Dengan sikap Pas yang yang benar-benar inginkan pertandingan tiga penjuru, ia dengan sendirinya menjadikan UMNO dan BN lebih santai untuk menghadapi pilihanraya akan datang.
Ramai pemimpinnya lebih girang kebelakangan ini dengan berkata, “apa nak ditakutkan….tiga penjuru kita akan terus berkuasa lagi”.
Makna kata, di sebalik Pas seronok dengan tiga penjuru, UMNO dan BN secara sedar melihat kedudukan parti Islam itu hanyalah sebagai alat, perkakas dan penyendal kepada cerahnya sebuah kerajaan kleptokrasi terus berkuasa di bumi Malaysia ini.
Soalnya, benarkah pertandingan tiga penjuru memberi kelebihan kepada UMNO dan BN serta akan menipiskan peluang Pakatan Harapan menjadi kerajaan?
Realitinya, yang berpecah tiga hanyalah parti-parti iaitu BN, Pakatan Harapan dan Pas yang digambarkan mengetuai Gagasan Sejahtera, tetapi rakyat secara majoritinya hanya berpecah kepada dua.
Satu kelompok rakyat mahukan UMNO serta BN kekal berkuasa dan satu lagi mahukan sebuah kerajaan baru dapat diwujudkan.
Atau dalam ertikata lain lain – satu mahu hitam dan satu lagi mahu putih, satu mahu kebaikan dan satu lagi mahu mengekalkan kerosakan.
Dalam kelompok Pakatan Harapan, boleh dikata seluruhnya mahu yang putih, kebaikan dan kerajaan baru dapat diwujudkan.
Dalam UMNO dan BN, ia diakui terpecah dua. Adayang mahu Najib kekal berkuasa dan semakin ramai yang menyampah untuk mengekalkannya. Mereka percaya mengekalkan lagi UMNO dan BN, yang lebih seronoknya hanyalah Najib dan Jho Low saja.
Kesukaran ekonomi, rasuah, kemewahan pemimpin, beban sara hidup dan sukarnya anak-anak mereka mendapat pekerjaan adalah antara sebab mereka tidak lagi sesetia dulu, malah sedia untuk putus cinta terhadap UMNO, BN dan kerajaan sedia ada.
Golongan tersebut secara diam-diam akan mengundi Pakatan Harapan atau mungkin memilih untuk tidak keluar mengundi sama-sekali. Mereka tahu mengekalkan kemungkaran besar dosanya.
Dalam Pas juga begitu, meskipun ada segelintir yang taksub dan wala’ membabi buta, ramai juga yang menjadikan pilihan dalam PRU 14 akan datang ialah antara hitam atau putih, kebaikan atau kerosakan dan kerajaan lama yang menyusahkan atau kerajaan baru yang menyuluhkan jalan harapan.
Pilihan bagi ahli dan penyokong Pas yang celik itu turut sama pilihannya – mengundi calon Pakatan Harapan sedia diam-diam atau langsung tidak keluar mengundi.
Pas akan diketepikan terus dalam pertimbangan pilihan ahli dan penyokongnya jika mereka lihat parti itu tiada harapan langsung untuk menang dan membentuk kerajaan.
Mereka secara umumnya sedar persaingan sebenar adalah antara Pakatan Harapan dan BN. Membazir saja memberi undi kepada calon-calon Pas yang akhirnya akan menyebabkan musuh mereka sejak azali, UMNO dan BN menang dalam pilihanraya serta meneruskan kerakusan kuasa merosakkan segala-galanya.
Selain tidak sanggup mengundi parti yang tidak membawa kemenangan, pasti ramai ahli dan penyokong Pas yang turut tidak sedia memberi undi mereka yang hanya memberi laluan kepada cukai GST terus dikenakan dan harga ikan kembung RM22 sekilogram.
Oleh yang demikian, secara perlahan-lahan Pas akan jadi semakin kecil sokongannya. Dengan mereka yang boleh berfikir, terbuka dan memikirkan masa depan sedia untuk memilih perubahan, hanya kelompok terasing yang totok dan jumud saja tinggal bersama Pas.
Yang mustahak, dalam tempoh berbaki beberapa bulan lagi sebelum PRU 14, penerangan dan pemahaman yang seluas-luasnya harus diberikan kepada rakyat mengenai pilihan yang harus mereka buat. Pakatan Harapan mesti menjadikan ini sebagai agenda keutamaan.
PRU 14 adalah peluang terbaik melakukan penghijrahan. Selepasnya, peluang  untuk membuat perubahan mungkin tidak muncul lagi dalam pilihanraya-pilihanraya akan datang. Sekali kita melepaskannya, penyesalan akan menghantui sepanjang zaman.
Tetapi, jika Pakatan Harapan yang menjadi kerajaan dan mereka tidak menjadi sebaik yang diharapkan, ia lebih mudah ditukar dalam pilihanraya yang seterusnya.
Filipina, Indonesia serta Thailand misalnya sudah lama menguak perubahan dan hari ini rakyatnya sedang menikmati hasil yang lebih baik dalam kehidupan mereka.

Bolehkah kita bayangkan apa jadi kepada Filipina dan Indonesia jika Marcos dan Suharto tidak disingkirkan dahulu atau Thailand kalau pemimpinnya yang terpalit rasuah tidak berani ditukar ganti dan dikekalkan hingga kini?

–¬†http://shahbudindotcom.blogspot.my

.