PEMBANGKANG MESYUARAT BINCANG CALON PM

KUALA LUMPUR – Satu mesyuarat khas akan diadakan Pakatan Harapan bagi membincangkan masa depan gabungan itu termasuk pemilihan calon berpotensi perdana menteri sekiranya menang PRU14.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, kata putus akan dibuat dalam pertemuan tersebut.

“Saya dimaklumkan pimpinan Pakatan Harapan akan kemuka pengumuman (calon perdana menteri) selepas perbincangan. Pada saya, pra syarat utama adalah prinsip reformasi, prinsip yang memastikan keadilan itu dapat berdiri dalam institusi demokrasi negara kita. Itu penting,” katanya  pada sidang media selepas sesi penerangan secara langsung berkenaan status mangsa yang terbabit dengan kejadian runtuhan serta laporan awal di peringkat SP Setia di KL Eco City, semalam.

Beliau berkata, dalam Pakatan Harapan, keutamaan adalah reformasi, justeru isu ini (perdana menteri) tidak perlu  diberi sebarang komen kerana agenda rakyat perlu diutamakan.

“Kita akan umumkan secara bersama, yang penting dalam keadaan ini, kita menggarap semangat semua pihak, dan benar-benar memastikan kita mampu melaksanakan agenda informasi,” katanya.

Nurul Izzah mengulas demikian bagi menjawab pelbagai spekulasi  calon berpotensi Pakatan Harapan untuk jawatan perdana menteri selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal permohonan mengetepikan sabitan dan hukuman atas kesalahan liwat.

Semalam, Analisis Berita Sinar Harian tulisan Ong Boon Teck menyatakan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu wawancara dengan media asing, The Australian pernah mengakui Anwar sudah terlalu tua untuk menjadi perdana menteri sekiranya BN hilang tampuk pemerintahan.

Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Nurul Izzah berkata, agenda informasi menjadi keutamaan bagi memastikan tidak ada lagi perdana menteri yang dapat mengawal selia dan menyalah gunakan institusi seperti yang berlaku sekarang.

“Pemimpin dipilih harus menjiwai kesemua pra syarat dan melaksanakannya dalam tempoh memimpin negara.

“Pada masa perjanjian antara Pakatan Harapan dan Bersatu baru-baru ini juga, Pakatan Harapan tidak lupa pra syarat untuk melaksanakan agenda reformasi,” katanya.

Menurutnya, dalam menyelamatkan negara, tidak cukup hanya dengan menumbangkan perdana menteri semata-mata.

“Oleh sebab itu soalnya bukan semata-mata perdana menteri,  tapi sistem itu yang benarkan beliau kaut keuntungan, jadi kita mahu pastikan bila berlaku perubahan, kita hormati segala yang ada dalam semangat perlembagaan, tapi bukan soal ganti perdana menteri semata-mata,” katanya.

– SH

.