PEMBANGKANG GUNA FORMULA 7+8

PAKATAN Harapan Melaka berusaha mengekalkan tujuh kerusi Dun sedia ada, di samping menambah lapan kerusi lagi sebagai matlamat merampas tampuk pemerintahan kerajaan negeri daripada BN pada PRU14.

Dengan menggunakan formula 7+8, pakatan pembangkang percaya akan memenangi sekurang-kurangnya 15 daripada 28 kerusi Dun Melaka, sekali gus membentuk kerajaan baharu buat pertama kali dalam sejarah.

Bagaimanapun, analisis yang dibuat China Press menunjukkan, matlamat Harapan untuk menjadi kerajaan baharu bukanlah tugas mudah kerana Melaka sememangnya kubu kuat BN.

Dalam dua kali PRU yang lalu, ketika pembangkang meraih sokongan kuat daripada pengundi di negeri-negeri lain seperti di Pulau Pinang dan Selangor, kedudukan BN di Melaka tidak sedikit pun tergugat.

“Pengundi Melaka masih yakin dengan BN. Selain DAP, parti pembangkang lain masih kurang menerima sokongan terutama di kawasan luar bandar.

“Prestasi terbaik dicapai pakatan pembangkang ialah pada PRU13 apabila memenangi dua kerusi parlimen dan tujuh Dun.

“Bagaimanapun, jumlah ini masih dianggap kurang memberangsangkan jika dibandingkan secara keseluruhan, iaitu enam kerusi parlimen dan 28 kerusi Dun yang dipertandingkan di Melaka,” tulis akhbar ini.

Di Melaka, kekuatan DAP selain bergantung kepada sokongan pengundi Cina, ia turut mengharapkan pengundi Melayu, lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar.

Sebelum ini, selain PKR, Pas yang ketika itu masih berada dalam Pakatan Rakyat sedikit sebanyak telah membantu DAP memperoleh undi Melayu.

“Namun, PRU kali ini akan menampakkan DAP kehilangan bantuan Pas. Sebagai ganti, dua parti baharu pula sebagai gandingan baharu mereka iaitu Amanah dan Bersatu.

“DAP kini turut inginkan populariti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendekati pengundi Melayu.

“Kemenangan tambahan lapan kerusi ini dipercayai akan datang daripada kawasan majoriti pengundi Melayu,” tulis akhbar ini lagi.

– Sinar Harian

.