PEMBANGKANG, FITNAH BERPISAH TIADA

IPOH – Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar hari ini menyelar kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali yang menuduh Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kononnya merupakan dalang kekecohan semasa Program Nothing To Hide 2.0 semalam.

Noh berkata kenyataan itu berunsur fitnah semata-mata.

“Pembangkang dan fitnah berpisah tiada, saya ingat Rafizi (Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli) yang suka buat fitnah, tetapi Azmin pun sama. Inilah perangai dan sikap pemimpin pembangkang kerana apa juga perkara (buruk) yang berlaku dalam negara, mesti kita dipersalahkan.

“Yang buat kecoh semalam adalah mereka (pembangkang) tetapi kenapa nak tuduh Umno dan perdana menteri. Saya ingat cukup-cukuplah hendak menghasut dan menipu rakyat terutama MB Selangor…apa juga kesilapan yang dia buat, dia tak akan boleh terima,” katanya.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Negeri Perak Sesi 2017-2019 dan Penganugerahan Penarafan Bintang PBT 2016 Negeri Perak di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan Azmin kononnya Najib menggunakan gangsterisme semasa majlis Nothing To Hide 2.0 anjuran Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Shah Alam semalam yang bertukar kecoh apabila dicemari insiden membaling selipar dan sebagainya daripada beberapa individu yang hadir.

Insiden kira-kira 5.10 petang itu bermula apabila seorang hadirin lelaki bertanya kepada Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung tragedi Memali di Baling, Kedah pada September 1985.

Bagaimanapun, sebelum soalan tersebut selesai dijawab oleh Dr Mahathir, kelihatan individu tertentu membaling selipar, diikuti kerusi, kasut  dan  botol air sebelum menyalakan suar dan membalingnya ke arah bekas perdana menteri itu yang berada di tengah pentas dan hampir mengenainya.

– Bernama

.