PEMBANGKANG ENGGAN BERGANJAK DARI PADANG TIMUR PJ

Pakatan Harapan (HARAPAN) tetap akan meneruskan himpunan anti-kleptokrasi di Padang Timur, Petaling Jaya pada Sabtu ini walaupun pihak polis tidak membenarkan kawasan itu digunakan.

Timbalan Presiden HARAPAN Mohamad Sabu berkata, melalui surat kepada penganjur, pihak polis Petaling Jaya tidak membenarkan padang itu digunakan dengan alasan kemungkinan gangguan trafik di sekitar kawasan berkenaan.

“Kami semalam menerima surat dari polis, (mereka beritahu) tempat itu tidak sesuai untuk buat himpunan kerana masalah trafik.

“Kami akan tulis semula surat pada polis, untuk memberitahu akan bekerjasama bagi mengawal arus aliran trafik bersama dengan petugas MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya),” katanya pada sidang media di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Petaling Jaya hari ini.

Selain itu, menurut surat yang ditandatangani Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din, notis yang dikemukakan penganjur mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 itu ditolak berdasarkan enam faktor yang berkaitan masalah lalu-lintas.

Antara faktor yang dinyatakan ialah perhimpunan itu akan mengganggu laluan penumpang yang menggunakan stesen LRT Taman Jaya, menyekat akses bas di stesen berkenaan serta mengganggu lalu-lintas di Jalan Timur.

Sehubungan itu, mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihak penganjur tidak bercadang untuk mengadakan himpunan tersebut di lokasi alternatif lain memandangkan pihaknya telah melakukan persediaan bagi penganjuran himpunan ala karnival berkenaan.

“Himpunan ini tidak bergerak, jadi kita dah siapkan sistem pembesar suara, skrin dan lain-lain.

“Kosnya juga agak tinggi. Kalau himpunan yang bergerak, murah,” katanya lagi.

– M’kini

.