Pembangkang di ambang kejatuhan di Sabah

KOTA KINABALU – Pakatan Pembangkang berada diambang kejatuhannya di Sabah berikutan tindakan beberapa wakil rakyat dan kepimpinan PKR dan DAP mengistiharkan keluar parti hari ini, kata Barisan Nasional (BN) Sabah.

Setiausahanya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, tindakan keluar beramai-ramai itu seolah-olah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari pembangkang mengatakan “PKR dan DAP adalah parti tidak berguna.”

“Tetapi bukankah sebelum ini mereka menyanjung PKR dan DAP sebagai penyelamat rakyat Sabah?,” katanya dalam kenyataan yang dipos melalui twitternya @mpkotabelud di sini.

Abdul Rahman, yang juga Anggota Parlimen Kota Belud, berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Pengerusi PKR Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin (Adun Klias), Adun Moyog, Terence Siambun (PKR) dan Adun Likas, Junz Wong (DAP) keluar dari parti masing-masing.

Turut meninggalkan parti masing-masing ialah Setiausaha Agung PKR Sabah, Datuk Maijol Mahap, Ketua Wanita PKR Sabah, Johair Matlani, Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Joan Hoh serta Naib Pengerusi DAP Sabah, George Hiew.

– Bernama

.