PEMBANGKANG, BN TERUJA DENGAN GEELY BOYUE

Rata-rata anggota parlimen pembangkang dan BN hari ini kagum dan teruja melihat reka bentuk kereta Geely dengan model Boyue buatan China yang bakal memasuki pasaran Malaysia pada 2018.

Kereta Geely model Boyue yang dipamerkan kepada anggota parlimen hari ini masih belum diketahui harganya, malah kereta itu masih mempunyai stereng di bahagian kiri, mengikut kaedah pemanduan di China.

Kereta itu antara lain memiliki sistem pengaktifan suara, namun setakat ini ia hanya untuk bahasa Mandarin.

Sewaktu ditemui di parlimen anggota parlimen Shah Alam Khalid Abd Samad daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) kagum dengan hiasan dan kemasan dalam model Boyue ini, namun masih ingin dapatkan penjelasan dari segi penjimatan minyak.

“Dari segi rekaan luarnya ia sangat menarik. Namun banyak yang saya tidak boleh komen sebab tidak pandu uji lagi, tidak tahu harganya. Hiasan dalamannya memang terkini.

“Kita harap harganya rendah, lebih murah dari harga kereta Jepun dan Eropah dan penjelasan dari sudut alat gantinya harus diberikan juga,” katanya kepada pemberita di ruang pameran kereta itu di parlimen.

Bagi anggota parlimen Rasah (DAP) Teo Kok Seong turut tidak ketinggalan untuk merasai sendiri pengalaman dengan menaiki kenderaan buatan China itu dan berharap agar ia dapat dipandu uji.

“Kita perlu pandu uji dahulu, jika belum pandu uji, kita tidak akan tahu dengan prestasinya. Secara keseluruhannya, model ini memang model terkini dan yakin ia akan diminati,” katanya.

Mengikut tinjauan Malaysiakini, Anggota Parlimen Temerloh (PAS) Nasruddin Hassan, MP Pokok Sena (PAS) Datuk Mahfuz Omar dan MP Kuala Krai (AMANAH) Dr Hatta Ramli turut tidak melepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman menaiki kereta tersebut.

Pada Jun lalu, Proton Holdings mengumumkan model Geely Boyue sejak usaha sama dengan Kumpulan Zhejiang Geely Holding Group (ZGH) pada Mei yang menyaksikan separuh daripada kepentingannya diambil alih gergasi otomobil China.

Geely Boyue buatan China akan dipasang di kilang Proton di Tanjung Malim, dan menurut beberapa laporan, ia bakal dinamakan sebagai Proton Bayu.

SUV lima tempat duduk itu berukuran menyerupai Honda CR-V. Di China, ia ditawarkan dengan enjin 1.8 dan 2.4 liter. Proton-Geely menyasarkan untuk mengeluarkan 280,000 kereta bagi pasaran China-Asia Tenggara.

Sementara itu bagi Ahli Parlimen Ketereh (Umno) Tan Sri Annuar Musa mengakui kereta Geely Boyue berwarna putih mempunyai reka bentuk menarik.

“Kereta itu (Boyue) reka bentuknya menarik. Boleh dikatakan reka bentuknya kompetitif dengan model-model popular sekarang, bahkan turut mempunyai elemen-elemen dari Range Rover,” katanya.

Annuar bagaimanapun berkata, faktor harga memainkan peranan penting dalam menjadikan kereta ini pilihan pengguna kerana jika ia terlalu mahal maka ia akan diketepikan.

“Ia bergantung kepada harganya. Kalau harganya kompetitif, ia model yang cukup menarik dan saya percaya ia mampu menjadi rebutan ramai. Saya percaya, lazimnya kereta daripada China harganya sangat kompetitif,” katanya.

Bagi Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula turut memuji rekaan kereta tersebut dan berharap ia boleh bersaing secara sihat dengan jenama terkemuka lain.

“Cantik kereta yang akan dikeluarkan nanti tapi saya percaya kita boleh bersaing dengan model lain yang keluarkan syarikat lain.

“Saya percaya kita dapat menawan lebih besar pasaran luar, bukan lagi di China dan Malaysia tapi negara seluruh dunia. Saya nampak potensi besar kepada proton. Semua rakyat Malaysia kalau tengok kereta ini akan berminat untuk membelinya, bukan hanya saya,” katanya.

– M’kini

.