PEMBANGKANG BANTAH MONOPOLI, BUKAN ANTI-CHINA

Pihak pembangkang dituduh bersikap anti-China kerana pendirian diambil yang mempersoalkan pelaburan dan cara kontrak dirunding dengan mereka.

Sebenarnya isu ini sengaja di kelirukan. Kami bukan anti-China tetapi kami antimonopoli ekonomi oleh mana-mana negara dan kebergantungan tinggi Malaysia kepada negara tersebut.

Umno dan BN berjinak-jinak dengan China kerana wang dan manafaat yang berkaitan dengannya untuk terus kekal berkuasa selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang walaupun berisiko tinggi kepada kedaulatan negara kita. Motif ini mesti kita faham.

Sekarang ini pun Malaysia telah menunjukan sikap terlalu tuduk kepada kuasa besar China dengan menyepi di Parlimen dalam isu kapal peronda negara terbabit mencerobohi perairan negara, dan juga keputusan tribunal antarabangsa di The Hague yang telah menolak tuntutan Beijing di perairan Laut China Selatan.

Malahan cadangan negara lain dalam Asean untuk menyokong keputusan tribunal itu tidak dipersetujui Malaysia. Pada masa sama kerajaan Malaysia bersetuju membenarkan syarikat dari China membina serta menyerahkan pengurusan pelabuhan di Kuantan, Melaka, Johor Bahru dan Bagan Datok.

Projek pembinaan landasan kereta api Pantai Timur berharga RM55 billion juga akan di serahkan kepada syarikat China.

Inilah monopoli dan kebergantungan kepada China yang dibantah kami. Negara Afrika yang bergantung kepada China kini sudah mengalami masalah tersendiri.

Apabila sesebuah negara atau pemimpin terlalu banyak bergantung kepada negara lain dalam isu ekonomi dan kewangan, kedaulatan negara tersebut akan dipersoal.

Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menujukkan kecenderungan terlalu rapat dengan pimpinan China komunis, banyak tanda tanya telah timbul tentang kebijaksanaannya.

Apa tuntutan selepas PRU?

Presiden baru AS, Donald Trump, pun telah disoal tentang kecenderungan dan hubungannya yang terlalu rapat dengan Presiden Vladimir Putin dan Russia.

Penglibatan anak Trump dan penyokong kuatnya, Rex Tillerson, yang ada kaitan perniagaan dengan Russia juga dipersoalkan.

Anak tiri Najib juga telah menyertai rombongan ahli perniagaan pada kunjungan perdana menteri ke China, sementara Jho Low – sahabat akrab anak tirinya itu, dan dicari pihak berkuasa AS kerana isu 1MDB – juga dipercayai berada di negara berkenaan.

Apa yang menjadi kebimbangan rakyat AS adalah pengaruh dan tekanan politik serta komersial yang akan dikenakan Russia ke atas Trump melalui hubungan sedia ada.

Begitu jugalah kekhuatiran kami – rakyat Malaysia. Seperti di Amerika apabila pengaruh Russia dipercayai membantu Trump menang, rakyat Malaysia juga bimbang pelaburan besar, kontrak serta wang China akan mempengaruhi keputusan PRU14 untuk memenangkan Najib serta BN.

Di manakah kedaulatan negara kita untuk memilh pemimpin secara bebas dan adil tampa pengaruh luar?

Selepas pihak tertentu menang, apakah tuntutan daripada kuasa luar selepas mereka mempengaruhi keputusan PRU?

Kebimbangan rakyat AS terhadap Russia sekarang akan dialami juga oleh warga Malaysia jika Najib dan BN terus mendapat sokongan majoriti pada PRU14.

Justeru kerana itulah kami hari ini membantah monopoli komersial dan kebergantungan amat tinggi Malaysia kepada China.
Bantahan itu bukan kerana negara itu China, tetapi disebabkan ia melibatkan kedaulatan Malaysia memilih pemimpin tanpa pengaruh luar dan kebebasan kita membuat keputusan sendiri.

Itulah kedaulatan yang berhak kita miliki sebagai sebuah negara yang benar-benar merdeka.

– M’kini

.