PEMBANGKANG BALAS DENDAM JIKA MENANG, KATA ANIFAH

PEMBANGKANG dijangka membalas dendam terhadap penyokong Barisan Nasional (BN) jika gabungan pembangkang berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum akan datang, kata Menteri Luar Anifah Aman.

“Mereka tidak akan biarkan penyokong BN dan mereka akan balas dendam pada kita,” katanya ketika pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Kampung Kabang, Papar hari ini.

Beliau mengulas mengenai ahli parti pembangkang sudah pun mula berkempen di kawasan kampung di Sabah.

“Saya difahamkan ada antara mereka datang ke kampung dan menabur pelbagai janji dan memfitnah kerajaan BN dan pemimpinnya.
“BN tidak buat janji, kami tunaikan janji,” katanya di depan kira-kira 200 penduduk kampung.

Anifah berkata beliau yakin BN akan tetap menang pada pilihan raya umum akan datang dan warga Sabah diminta jangan terpengaruh dengan penipuan pembangkang.

“Kebanyakan orang Sabah tidak suka singgung orang lain. Tetapi jika anda lihat ahli pembangkang masuk kampung anda, halau mereka.

“Sebaik saja anda beri mereka berkempen, sesiapa saja boleh terpengaruh dengan fitnah dan janji mereka,” katanya.

Beliau berkata BN dan pemimpinnya memberi banyak bantuan kepada Sabah, termasuk bantuan tunai BR1M dan pendidikan, selain pelbagai projek pembangunan.

Anifah berkata sebagai balasan, wakil BN hanya meminta undi mereka sekali dalam setiap lima tahun.

– https://www.themalaysianinsight.com

.