PEMBAHAGIAN KERUSI DAN PENCALONAN TUN M SEBAGAI PM, PAKATAN HARAPAN SEMAKIN HAMPIR MENUJU KEMENANGAN

Dilaporkan bahawa soal pembahagian kerusi dan siapa calon Perdana Menteri Pakatan Harapan sudah pun selesai dan dipersetujui serta  akan diumumkan petang ini di majlis penutup konvensyen gabungan pembangkang itu.
Untuk semenanjung yang mempunyai 165 kerusi,  Bersatu dikhabarkan diperuntukkan 52 kerusi, PKR 51, DAP 35 dan Amanah 27.
Tun Mahathir Mohamad pula dipersetujui sebagai calon Perdana Menteri untuk menggantikan Najib Razak selepas gabungan itu berjaya menumbangkan BN nanti.
Dengan mengambil kira banyak kerusi yang akan ditandingi oleh PKR di Sabah dan Sarawak, manakala Bersatu tidak meletakkan calonnya di kedua-dua negeri itu, bermakna PKR akan memperolehi jumlah kerusi paling besar sekali.
Untuk semenanjung, pembahagian 52 dan 27 kerusi bagi Bersatu dan Amanah, ditambah dengan sebahagian besar daripada 51 kerusi PKR akan turut ditandingi oleh calon-calon Melayu, ini adalah simbolik yang relevan lagi nyata untuk memperlihatkan kuasa Melayu tetap dominan dalam Pakatan Harapan, sesuai dengan komposisi penduduk negara ini.
Begitu juga dengan memperuntukkan Bersatu sebanyak 52 kerusi, ia adalah bertujuan bagi menarik sokongan pengundi UMNO untuk beralih kepada Pakatan Harapan kerana ia akan memperlihatkan Bersatu merupakan saingan dan pengganti kepada UMNO.
Dengan yang demikian, tiada alasan lagi untuk pencacai UMNO dan BN meniupkan sentimen seolah-olah DAP yang menguasai Pakatan Harapan kerana parti itu hanya diberikan 35 kerusi saja.
Adakah dengan 35 kerusi itu DAP mampu menjadi dominan dalam Pakatan Harapan?
Malah, kiranya selepas ini masih ada lagi yang mengatakan DAP paling berkuasa dalam Pakatan Harapan, ia dengan sendirinya akan menjadi “lagu sumbang” yang lama kelamaan tidak akan didengari oleh sesiapa.
Jumlah yang diberikan kepada DAP itu pada hakikatnya lebih kurang sama saja degan peruntukan kerusi yang diberikan oleh BN kepada MCA, MIC dan juga Gerakan.
Jadi, apa bezanya?
Oleh kerana politik Malaysia adalah bertunjangkan Melayu, maka meletakkan keutamaan  kepada kaum majoriti itu memang tidak dapat dielakkan.
Selama ini pun, mainan UMNO untuk menakut-nakutkan orang Melayu agar mereka tidak memilih wadah lain ialah kononnya Melayu akan  terpinggir, Melayu akan terbangsat, Melayu akan hilang suara dan macam-macam lagi gambaran yang menakutkan.
Meskipun bagi golongan  terpelajar dan berpendidikan, mainan itu tidak berapa laku lagi, tetapi di kampung-kampung dan luar bandar di mana tembusan internet agak terhad, kempen yang sedemikian ternyata masih tetap berkesan.
Namun, dengan Pakatan Harapan juga menunjukkan mereka adalah didominasi oleh Melayu, sama seperti BN, hakikatnya tiada apa-apa lagi kebimbangan yang harus menghantui sesiapa selepas ini.
Baik BN atau Pakatan Harapan yang memerintah negara ini, hak orang-orang Melayu tetap akan terjaga dan terpelihara.
Lebih daripada itu, dengan Tun Mahathir dinamakan sebagai Perdana Menteri untuk menggantikan Najib, Pakatan Harapan secara automatiknya mempunyai suatu kelebihan yang tiada pada BN.
Tun Mahathir sejak dulu dikenali sebagai “ultra Melayu” dan hakikat bahawa beliau banyak berusaha untuk membantu dan mengubah cara berfikir orang Melayu sukar dinafikan oleh sesiapa, meskipun dalam masa yang sama beliau juga pro serta disenangi oleh bangsa-bangsa lain, terutama golongan peniaga kaum Cina.
Secara mudahnya, sewaktu menjadi Perdana Menteri selama ini, Tun Mahathir cuba bersikap seadil yang boleh dalam cara mengurus dan mentadbir negara yang dihuni oleh pelbagai kaum ini.
Selain itu, tidak seperti Najib, Tun Mahathir tidak pernah digelar perompak, pencuri atau penyamun, jauh sekali sebagai kleptokrat kerana akaun bank peribadinya tiada rekod ada wang berbilion ringgit jumlahnya semasa beliau berkuasa dahulu.
Kemampuannya dalam memaju dan memulihkan negara turut tidak diragui, bahkan dilihat jauh lebih meyakinkan berbanding Najib.

Melalui pembahagian kerusi yang dilihat bukan saja adil, malah mampu menonjolkan Melayu tidak dipinggirkan, ditambah dengan Tun Mahathir yang umpama permata berbanding Najib yang hanya kaca, dengan manifesto yang jelas dan gerak kerja kempan yang tersusun selepas ini, Pakatan Harapan tidak diragui lagi sedang berada di landasan yang betul menuju hari kemenangan yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.