Pemangsa Seksual Remaja Bebas Memburu Di Malaysia

DI BANDAR Kuala Lumpur terletak sebuah hotel empat bintang. Kami berada di lobi yang penuh dengan kelibat manusia .Di situlah pemangsa seksual kanak-kanak itu membuat keputusan untuk ‘menawan’ seorang remaja berumur 15 tahun, Nadia.

Sejam yang lepas, mereka berada di kafe di seberang jalan di mana lelaki yang berumur lewat 30-an itu cuba memujuk Nadia, “kawan” barunya yang dikenali melalui aplikasi mesej, WeChat untuk pulang ke hotel bersamanya. Katanya, dia mahu berkenalan sahaja. “Awak kena belajar untuk percaya,” dia ulang berkali-kali.

Namun Nadia gelisah dan takut kerana mereka baru sahaja mula berbalas mesej sejak seminggu lepas dan dia telah dengar pelbagai kisah menakutkan tentang nasib yang menimpa akibat berjumpa dengan kenalan online.

Tetapi lelaki itu tahu apa yang dia sedang lakukan. Dia seorang ‘groomer‘, gelaran bagi pemangsa seksual yang menggunakan aplikasi mesej di telefon pintar untuk mencari mangsa dan dia sangat sabar dalam melabur masa dan tenaga supaya mangsa lebih senang dimanipulasikan untuk memenuhi kehendak seksualnya yang terlampau.

Sepanjang perbualan mereka, dia konsisten menunjukkan sifat-sifat seorang yang baik hati, sambil mendesak, sehinggalah Nadia akur dan bersetuju untuk berjalan dengannya ke lobi hotel.

Lelaki itu melihat peluang untuk mengambil kesempatan terhadap remaja berumur 15 tahun itu. Ia adalah jelas bahawa dia mahukan seks, tetapi pelawaannya datang dengan sebuah pengakuan yang menggerunkan.

“Bukan awak seorang je budak sekolah yang saya kenal. Ramai,” katanya.

“Mereka semua muda macam saya ke?” Nadia bertanya.

“Abang dah pernah buat dengan budak Tingkatan Satu sampai Tingkatan Enam! Yang budak Tingkatan Satu tu sekolah dekat KL. Ada lagi seorang di Selangor, tapi dia dah Tingkatan Empat sekarang.”

Dan Nadia sebenarnya adalah seorang wartawan R.AGE berumur 26 tahun yang sedang menyamar, dan berpakaian seperti budak sekolah.

Wartawan kami berada di dalam situasi yang sukar. Dia harus dapatkan maklumat tentang lelaki ini sebanyak mana yang mungkin – lebih-lebih lagi jika pemangsa ini telah melakukan jenayah ke atas kanak-kanak lain – tanpa membuat lelaki itu mensyaki apa-apa.

Tapi dia sudah tidak tahan lagi. Dia membuat alasan untuk tinggalkan hotel itu.

“Tak boleh ke kita naik untuk 30 minit je?” si pemangsa memujuk.Ternyata niatnya untuk berkenalan hanya sekadar alasan.

Bagi kami di R.AGE, ini hanyalah salah satu contoh perjumpaan yang telah kami rakamkan secara rahsia. Dan kami telah mengumpul bahan-bahan bukti selama enam bulan. Semuanya hanya melalui aplikasi mesej.

Kami juga menyimpan gambar-gambar lucah yang telah mereka hantar, dan perbualan mereka memujuk remaja bawah umur untuk lakukan aktiviti seksual bersama mereka.

Tapi apa yang lebih menyeramkan adalah menurut undang-undang Malaysia, pemangsa-pemangsa seperti lelaki ini tidak lakukan kesalahan. Kerana di Malaysia masih tiada undang-undang untuk mencegah ‘grooming’ seksual kanak-kanak.

Selagi pemangsa ini tidak mendera remaja ini secara seksual atau fizikal, pihak polis tidak boleh menyabit mereka. Maka pemangsa masih lagi berpeluang untuk mengeksploitasi remaja bawah umur.

Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengendalikan kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak sedang berusaha memikirkan cara untuk menyabitkan kesalahan pemangsa seksual kanak-kanak.

“Pihak-pihak berkuasa seperti kami amat memerlukan sistemundang-undang yang lebih inklusif selaras dengan perkembangan teknologi yang semakin laju,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian D11, Asisten Komisioner Ong Chin Lan.

“Kami telah sediakan draf undang-undang terhadap ‘grooming’ dan harap ia telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk semakan. Tetapi proses ini akan mengambil masa yang lama.”

Di dalam kes Richard Huckle, pemangsa seksual kanak-kanak yang berasal dari Britain, dia dipercayai telah mendera seramai 200 kanak-kanak secara seksual di Kuala Lumpur.

Berita ini telah menggemparkan warga Malaysia tetapi Ong percaya bahawa ramai lagi pemangsa sedang beroperasi di sini lebih-lebih lagi dengan adanya pelbagai jenis aplikasi mesej.

“Terdapat pelbagai peringkat untuk perangkap kanak-kanak,” kata Melissa Mohd. Akhir, pegawai kanan advokasi bagi Women’s Centre for Change (WCC), Pulau Pinang.

“’Grooming’ merupakan peringkat persediaan untuk jenayah yang lebih dahsyat. Jika kita tidak menangani isu ini dari awal lagi, kita mungkin akan terlambat.”

Aplikasi mesej di telefon pinta (WeChat, BeeTalk, Facebook Messenger dan seumpamanya) telah menjadi aplikasi yang popular di kalangan pemangsa seksual di Malaysia.

Statistik dari Bukit Aman menunjukkan bahawa selama dua tahun yang lepas, 80% kes rogol yang dilaporkan kepada polis dimulakan menerusi online.

Ia bukanlah suatu keadaan yang terpencil. Wartawan-wartawan R.AGE menggunakan fungsi “People Nearby” yang sedia ada di aplikasi chat ini di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang dan ternyata ada sahaja pemangsa yang mencuba untuk ‘groom’ mereka.

Dalam masa sehari, salah seorang daripada kami telah menerima lebih daripada 20 mesej lucah termasuklah gambar-gambar yang tidak senonoh walaupun dia telah nyatakan umurnya sebagai 15 tahun.

Ada yang berani menggunakan nama sebenar, dan cukup mudah untuk kami mencari profil mereka online. Seorang pegawai D11 pernah memberitahu kami: “Mungkin mereka terlalu yakin yang mereka tidak akan ditangkap maka mereka tidak terfikir pun untuk gunakan nama palsu.”

Tetapi selalunya, modus operandi mereka melibatkan ‘grooming’ – tidak ramai yang akan terus bertanyakan tentang seks. Mereka akan mulakan perbualan seperti pemangsa yang R.AGE jumpa di lobi hotel itu – lelaki yang baik hati, penyayang dan hanya mahukan persahabatan. Mereka sentiasa ada. Seperti Huckle, seorang “kawan” beginilah yang dicari-cari oleh remaja sekarang.

R.AGE telah berhadapan dengan salah seorang pesalahlaku ini, lelaki berumur 28 tahun daripada salah satu universiti terkemuka di Malaysia yang mengaku dirinya seorang penagih seks. Dan dia telah mendedahkan bagaimana mereka mencari mangsa.

“Ia adalah satu permainan nombor,” kata pelajar sarjana tersebut. “Di WeChat, saya menggunakan “People Nearby” dan pilih mengikut jantina. Kemudian, saya menghantar mesej kepada seramai perempuan yang mungkin.”

Dari situ, mereka akan menghantar mesej yang semakin seksual. Tetapi mereka berhati-hati untuk mengelakkan penggunaan kata-kata yang akan membuat mangsa rasa takut.

Salah satu ayat yang biasa digunakan ialah “awak sentuh diri sendiri tak?”

Pemangsa seterusnya merupakan seorang lelaki yang bekerja di dalam industri media Malaysia.Dia tidak pernah sekali pun sebut apa-apa yang tidak senonoh kepada wartawan kami. Mungkin dia hanya mahu berkawan dengan budak remaja dan tidak lebih daripada itu.

Tetapi, segalanya berubah apabila pemangsa mengajak wartawan kami untuk berjumpa. Wartawan kami membuat alasan yang dia hadiri kelas tuisyen dan tidak boleh berjumpa pada waktu siang. Pada pukul 3 petang, pemangsa menghantar mesej mengatakan bahawa dia berada di kawasan pusat tuisyen itu dan mendesak untuk berjumpa.

Ia cukup mudah untuk dapatkan maklumat tentang pemangsa tersebut. Kami tahu organisasi media dimana pemangsa itu bekerja, kami tahu dia sudah berkahwin, dan menurut kepada gambar bayi comel di profil Facebooknya, kami tahu dia ialah seorang ayah.

Pemangsa itu memaksa wartawan kami untuk ponteng kelas tuisyen untuk lakukan aktiviti seksual dengannya. Proses ‘grooming’ telah berakhir; dia tewas dengan nafsunya. Pujukan yang diberi ialah “Jika awak tak selesa, kita tak perlu lakukan seks. Saya boleh urut awak. Kita boleh buat ‘ringan-ringan’ je.”

Pakar kriminologi Dr. Geshina Ayu Mat Saat berkata bahawa remaja bawah umur kerap kali menjadi mangsa hanya kerana sifat ingin tahu mereka amat tinggi.

“Mereka tertanya, mengapakah seks suatu subjek yang pantang dibincang? Apa itu keintiman seksual dan mengapa mereka tidak boleh tahu tentangnya sehingga mereka lebih tua?”

“Kemudian, remaja ini diumpan dan dimanipulasikan sehinggalah mereka lebih berfikiran terbuka terhadap aktiviti-aktiviti seksual. Dan ia akan membawa kepada ketagihan.”

Mangsa rogol Lina (bukan nama sebenar), 15, merupakan kanak-kanak yang telah dimanipulasikan oleh lelaki-lelaki di Facebook.Mereka telah melakukan ‘grooming’ ke atas Lina sehingga Lina melakukan hubungan seks.

Apabila Lina mencecah umur 14 tahun, dia telah menghantar gambar bogel kepada lebih kurang 20 lelaki dan dia telah memberitahu kami bahawa pada masa yang sama dia telah lakukan hubungan seks dengan salah seorang lelaki itu.

Ia bermula apabila Lina berkawan dengan seorang lelaki dari Amerika di laman Facebook. Lama kelamaan Lina menganggap lelaki ini sebagai teman lelakinya.

Lelaki ini merupakan seorang pemangsa.Dia memanipulasikan perasaan dan mengeksploit Lina untuk gambar-gambar bogel.

“Saya mula fikir kalau saya tak hantar gambar bogel, dia tak nak kawan dengan saya,” katanya.

Undang-undang yang menangani masalah ‘grooming’ seksual telah pun digubal di negara-negara seperti Singapura, Britain, Australia, Canada dan Amerika Syarikat, di mana ia merupakan suatu jenayah apabila seseorang berniat untuk mengeksploit kanak-kanak secara seksual walaupun tiada deraan fizikal yang berlaku.

Sesetangah negara ini, mangsa tidak semestinya bawah umur.Asalkan bukti komunikasi menunjukkan bahawa pemangsa percaya mangsa adalah bawah umur, pemangsa boleh didakwa – walaupun saluran komunikasi dimulakan dari luar negara melalui aplikasi chat.

Pengamal undang-undang keluarga, Honey Tan mengatakan bahawa Malaysia tidak memiliki undang-undang yang khusus terhadap aktiviti ‘grooming’ atau eksploitasi secara seksual, dan kerajaan hanya “fokus kepada menangani isu-isu lain.”

“Melainkan seseorang boleh buktikan bahawa ini merupakan isu yang akan berlarutan, dan ada desakan daripada rakyat Malaysia, selagi itu kerajaan tidak akan lakukan apa-apa tentang isu ini.”

Menurut undang-undang Malaysia di bawah kanun keseksaan, terdapat satu seksyen yang khusus terhadap ‘grooming’ kanak-kanak: Seksyen 377E – menghasut kanak-kanak (ditakrifkan sebagai bawah umur 14 tahun) untuk melakukan perbuatan kelucahan yang melampau.

Tetapi seperti yang dijelaskan oleh Tan, kita memerlukan undang-undang yang lebih inklusif untuk hadapi isu yang kompleks ini.Seksyen 377E hanya empat baris panjang, dan seperti yang Tan tunjukkan, terdapat kanak-kanak yang berumur 15-18 tahun yang terdedah kepada eksploitasi seksual juga.

“Walaupun seksyen 377E digunakan untuk menyabit kesalahan, terdapat pelbagai masalah lebih-lebih lagi bab keterangan. Bagaimana hendak buktikan bahawa orang yang menghantar mesej kepada mangsa adalah yang tertuduh?” katanya.

Sesetengah pemangsa yang berkenalan dengan kami melalui I hanya mahu dapatkan gambar-gambar atau video bogel daripada mangsa; mereka langsung tidak berminat untuk berjumpa.

“Selain daripada masalah ketiadaan jenayah substanstif yang dilakukan (kerana ‘grooming’ tidak menyalahi undang-undang), terdapat juga masalah dalam prosedur dan pengambilan keterangan dalam kes-kes sebegini.”

Kadar sabitan untuk jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak di Malaysia adalah di bawah lima peratus, mengikut laporan Parlimen Malaysia 2013.

Malaysia memerlukan satu akta yang khusus kepada isu ini, kata Tan, tapi itu hanyalah separuh daripada penyelesaiannya.

“Fokus terhadap undang-undang sepatutnya hanya 40%, untuk menetapkan standard yang menyatakan bahawa tindakan sebegini rupa tidak boleh diterima dan boleh dihukum.

“Tetapi 60% lagi merupakan cabaran untuk mengubah persepsi masyarakat, dan itu lebih sukar. Ia boleh memakan masa yang sangat lama,” katanya.

“Itu hanyalah bilangan yang kecil,” kata Ong, apabila berbincang tentang statistik rasmi jenayah seksual kanak-kanak.

Unit D11 telah merekodkan sebanyak 300% kadar peningkatan kes rogol yang bermula secara online antara tahun 2010 dan 2015.

Pengurus rumah perlindungan di mana mangsa rogol, Lina menetap, memberitahu R.AGE bahawa kebanyakan kes yang mereka kendalikan sekarang mempunyai kaitan dengan dengan media sosial.

Dan dengan hanya lima peratus sahaja kadar sabitan kes,  maka tidak menghairankan jika mangsa-mangsa di Malaysia memilih untuk tidak melaporkan jenayah sebegini.

Tetapi mangsa akan terdedah kepada situasi yang membuatkan mereka dieksploitasi sekali lagi, dan ini membuat pemangsa lebih berani, kata Melissa.

Beliau berkata, bahawa WCC telah berjumpa pesalahlaku yang berulang kali lakukan jenayah yang sama kerana yakin mereka akan terlepas.

“Terdapat bukti bahawa 80% kanak-kanak yang telah menjadi mangsa seksual di umur yang muda, jikalau tiada langkah yang diambil, mereka akan melakukan jenayah yang sama apabila mereka lebih tua,” kata Dr. Geshina.

“Bagi mangsa pula, jika mereka menjadi mangsa buat kali kedua atau berkali-kali lagi, mereka tidak akan membuat laporan. ‘Revictimisation’ ialah sebab yang kukuh untuk mereka tidak melaporkan kejadian yang berulang,” kata Melissa.

“Maka kita harus ubah mesej yang ingin disampaikan. Ia berbaloi untuk membuat laporan – keadilan adalah hak masing-masing. Anda tidak berseorangan dalam hal ini. Dan kita perlu hentikan kejadian ini sebelum ia berlaku kepada orang lain.”

Mungkin situasi yang paling sukar diterima ialah apabila mangsa tidak dibenarkan oleh keluarga mereka untuk melaporkan jenayah seksual yang berlaku demi menjaga maruah keluarga.

Dr. Geshina mengatakan bahawa kebanyakan keluarga tidak mahu membawa kes ke mahkamah kerana risau ia akan menjadi satu proses yang panjang dan juga membawa malu kepada keluarga. Mereka risau anak mereka akan didiskriminasikan. Ada juga keluarga yang menyalahkan anak mereka.

Padahal, keluarga merupakan mereka yang berperanan paling penting dalam memastikan jenayah siber seksual tidak terjadi terhadap remaja dan kanak-kanak.

Di Malaysia, ibu bapa masih enggan untuk berbincang dengan anak-anak mereka tentang seks. Maka anak-anak yang penuh dengan sifat ingin tahu akan mencari jawapan dari sumber-sumber yang kurang bertanggungjawab, katanya.

Sumber seperti lelaki di hotel itu, yang berjanji untuk mengajar Nadia bagaimana untuk lakukan hubungan seks untuk kali pertama.

Pada malam itu, apa yang kami boleh lakukan ialah memastikan keselamatan wartawan kami dan mengumpul segala bahan bukti untuk diserahkan kepada pihak polis.

Ia mungkin akan mengambil masa yang lama untuk membina kes menentang pemangsa ini. Dan tiada jaminan jika pemangsa ini akan dijatuhkan hukuman.

Buat masa sekarang, lelaki ini masih berada di luar sana.

Bersama kita berusaha untuk melindungi kanak-kanak daripada pemangsa seksual online. Berikan sokongan anda kepada kempen R.AGE dengan kerjasamaa Unicef!

Kami mahukan undang-undang menentang ‘grooming’ seksual kanak-kanak di Malaysia.Untuk maklumat lebih lanjut, layari rage.com.my/predator.

– http://www.mstar.com.my/