PEMANDU NYARIS MAUT, KERETA TERHUMBAN DALAM PARIT

SABAK BERNAM  – Seorang lelaki nyaris maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam parit di Sungai Leman, Sekinchan, di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an itu dipercayai memandu kereta jenis Proton Saga bersendirian dari arah Sekinchan menuju ke Sungai Besar.

Menurut sumber, setiba melalui lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa secara tiba-tiba telah hilang kawalan sebelum terbabas dan terhumban dalam parit berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Muhammad Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.15 pagi ini sebelum mengerahkan sebuah jentera FRT (Fire Rescure Tender) bersama-sama enam anggota termasuk pegawai ke lokasi kejadian.

“Ketika kami sampai kira-kira enam minit kemudian di lokasi kejadian, mangsa didapati mengalami luka-luka dan masih berada di dalam kenderaannya. Mangsa didapati mengalami trauma akibat kejadian itu,” katanya di sini hari ini.

Tambah Muhammad, mangsa kemudiannya dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

– UTUSAN ONLINE.

.