PEMAJU SKANDAL TANAH FELDA DIDAKWA RISIK TANAH LAIN JALAN SEMARAK

SYNERGY Promenade Sdn Bhd, pemaju projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) didakwa berminat dengan tanah ibu pejabat Jabatan Pemetaan dan Ukur Malaysia (Jupem) yang terletak berhampiran tanah Felda, lapor Berita Harian hari ini.

Bagaimanapun, usaha Synergy untuk mendapatkan kawasan itu terbantut selepas skandal transkasi meragukan pemindahan hak milik tanah Felda terbongkar, kata sumber seperti dipetik akhbar pro Umno dan Barisan Nasional itu,

Usaha mendapatkan tanah itu diketahui selepas Synergy membuat satu rundingan dengan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

“Saya difahamkan rundingan ‘merisik’ lot tanah itu untuk projek KLVC termasuk yang menempatkan bangunan Jupem sudah dihentikan.

“Perundingan dikatakan turut diadakan antara syarikat pemaju dengan pengerusi Exco Tanah (Majlis Mesyuarat Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) kerana tanah itu milik kerajaan persekutuan dibawah pentadbiran Pesuruhjaya Tanah Persekutuan,” kata sumber Jupem.

Bagaimanapun katanya, rundingan tidak dibuat dengan Jupem memandangkan jabatan itu hanya menggunakan tanah berkenaan.

Pada masa yang sama, di Johor Bahru tiada sebarang permohonan diterima Universiti Teknologi Malaysia (UTM) daripada pihak yang mahu memiliki sebidang tanah menempatkan Masjid UTM berhampiran Jalan Maktab untuk pembangunan KLVC.

“UTM belum pernah menerima permohonan atau kehadiran pihak luar yang mahu ‘merisik’ tanah UTM di Jalan Semarak. Ia memang tanah kami dan status tanah itu milik UTM,” kata Naib Canselornya, Prof Dr Wahid Omar dipetik Berita Harian.

Beliau menegaskan UTM tidak bercadang untuk menjual tanah tersebut mahupun melepaskan mana-mana tapak dalam kawasan itu.

Felda, Khamis lalu dilaporkan berisiko kehilangan hak ke atas kawasan strategikyang dianggar bernilai RM270 juta di Jalan Semarak di Kuala Lumpur susulan urusan pindah milik tanah yang mencurigakan pada 2015.

Pengerusi Felda Shahrir Abdul Samad dilaporkan berkata Felda bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak ke atas tanah agensi itu termasuk membuat laporan polis pada 12 Disember lalu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.