Pengerusinya, Teng Chang Yeow berkata, Q Island Development Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat Ideal Property Development Sdn. Bhd. adalah pilihan Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk membeli 49 peratus saham dalam Tropical Island Resort Sdn. Bhd. (TIRSB) yang memegang hak ekuiti di Pulau Jerejak.

Katanya, ia bukan satu kebetulan kerana sebelum ini Ideal Gim Venture Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat Ideal Pro­perty Group menang tender projek tambak laut seluas 25 hektar berhadapan dengan Pulau Jerejak.

“Sesungguhnya, ada ‘bau yang kuat’ antara projek penambakan laut dengan penjualan saham sebanyak 49 peratus oleh Perbada­nan Pembangunan Pulau Pinang (PDC),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, Pemuda Gerakan negeri membangkitkan isu penjualan tanah di pulau berkenaan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang yang sepatutnya digazetkan sebagai zon hutan simpan kekal di negeri ini seperti dijanjikan namun tidak dilaksanakan selepas lapan tahun malahan akan dibangunkan dengan projek perumahan dan taman tema.

Mengulas lanjut, Chang Yeow berkata, pemain industri hartanah di negeri ini sedia maklum bahawa syarikat-syarikat berkenaan sering menerima layanan istimewa daripada kerajaan negeri malahan dianggap sekutu DAP.

“Ini merupakan transaksi sekutu dan temberang pada tahun ini,” ujarnya.

UTUSAN

.