‘PELURU NAJIB BELUM HABIS, SELANGOR AKAN DITAWAN’

Umno kini yakin dengan peluang mereka menjelang pilihan raya umum ke-14 yang mesti diadakan selewat-lewatnya tahun depan.

Ketua penerangannya Tan Sri Annuar Musa berkata pembangkang sedang “tunggang-langgang” berdepan pelbagai masalah selain kehabisan “peluru”.

“Dia dah keluar ‘peluru’ macam-macam.

“Manakala ‘peluru’ Perdana Menteri Datuk Seri Najib belum keluar lagi.

‘Peluru’ kita belum habis lagi. Satu daripada agenda PRU-14 kita ikhtiar mahu ambil balik Selangor.

“Kita sedang fikir daripada dalam dan luar kotak,” beliau dipetik sebagai berkata dalam acara penerangan Umno di Sepang malam tadi.

Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan Datuk Lokman Nor Adam dan Exco Pemuda Umno Shahril Hamdan turut hadir dalam acara jelajah parti Melayu itu.

 

Sementara itu, Annuar juga berkata Umno sedang merangka strategi dan menjadikan Selangor sebagai negeri tumpuan.

“Ini negeri BN bangunkan bukan Azmin bangunkan.

“Selangor adalah maruah Umno, kebanggaan Umno dan anak emas Umno. Kita tidak reda berada bawah pimpinan orang lain,” katanya seperti dilaporkan Umno Online.

Beliau juga mahu anggota dan jentera Umno Sepang bersatu padu untuk menawan balik kawasan itu, yang kini milik Parti Amanah Negara (AMANAH).

“Kita kalah kerana perpecahan dalaman pada satu ketika dahulu. Sepang sangat penting. Jangan buat orang tidak yakin dengan kita.

“Bagaimana orang nak tumpang kita kalau kita bergaduh sesama sendiri,” katanya.

Dalam pilihan raya umum lalu, calon BN Sepang Mohd Zin Bin Mohamed kecundang di tangan calon Hanipa Maidin dalam pertandingan empat penjuru bersama dua lagi calon bebas.

Hanipa ketika itu masih anggota PAS.

– M’kini

.