PELUKIS NAJIB BERMUKA ‘BADUT’ TAK DIBENAR KE LUAR NEGARA

Pelukis, Fahmi Reza, yang mencipta nama dengan karikatur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bermuka ‘badut’ kini disenarai-hitamkan oleh Jabatan Imigresen.

Beliau mengetahui perkara itu selepas membuat pemeriksaan dengan Jabatan Imigresen apabila membuat persediaan sebelum perjalanannya ke Taiwan minggu depan.

Aktivis itu dijadualkan berucap berhubung ‘protes seni’ pada satu majlis anjuran Green Citizens’ Action Alliance.

Katanya, Jabatan Imigresen memaklumkan bahawa beliau dihalang daripada ke luar negara sejak 31 Mac 2016.

“Aku fikir ini mesti sebab lukisan muka badut lah, takde kes lain.

“Aku post gambar tu pada 31 Januari 2016, aku kena siasat dan kena bagi keterangan pada polis pada 28 Februari 2016. Memang takde kes lain lah,” tulisnya di Facebook.

Menurutnya, beliau kemudian menghubungi pegawai penyiasat kes berkenaan di Bukit Aman dan dimaklumkan dirinya disenarai hitam kerana kesnya kini di bawah siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi atas sebab sebuah posting Twitter yang didakwa mengaibkan Najib.

“Aku tak faham kenapa dia buat macam tu. Setiap kali polis panggil aku untuk bagi keterangan, aku bagi kerjasama.

“Aku dah kena naik mahkamah banyak kali tahun lepas sebab kena dakwa untuk lukisan muka badut tu. Kedua-dua kes aku akan dibicarakan tahun ni.

“Aku dah kena tangkap polis dua kali tahun lepas sebab lukisan muka badut tu juga. Apa sebab mereka nak sekat aku dari ke luar negara?” soalnya.

Katanya, beliau akan berjumpa dengan pegawai penyiasat polis untuk meminta supaya namanya digugurkan daripada senarai yang dikehendakiitu agar boleh melakukan perjalanan ke luar negara.

“Penganjur program aku dekat Taiwan dah beli tiket penerbangan untuk aku ke Taipei, bertolak hari Isnin dah dah booking penginapan untuk aku.

“Kalau aku gagal, semuanya burn,” katanya.

– M’kini

.