PELUANG PH UNTUK MENANG LEBIH BESAR PADA PERTEMBUNGAN TIGA PENJURU

PERTEMBUNGAN tiga penjuru antara Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan PAS pada pilihan raya umum akan datang memberi peluang lebik baik kepada pakatan pembangkang, kata ahli panel pada satu forum pilihan raya baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata beberapa kajian yang dijalankan di seluruh negara menunjukkan pertandingan tiga penjuru akan memberi kelebihan kepada PH di kebanyakan kerusi kerana berlaku pecahan undi Melayu antara PAS dan BN.

“Bila berlaku pertembungan tiga penjuru, undi Melayu akan berpecah kepada tiga antara Umno, PAS dan PH di mana undi bukan Melayu terutamanya Cina hampir ketara bersama PH.

“Tambahan lagi apabila terbentuknya Bersatu, sebahagian undi Melayu Umno juga akan dibawanya kepada PH, maka undi PH pun akan bertambah dan akan menang dalam pertandingan tiga penjuru,” kata Khalid pada forum “PAS rakan kongsi berisiko tinggi” di Kuala Terengganu.
Menurut Khalid, PH telah meminta Pengarah Pilihan Rayanya, Mohamed Azmin Ali untuk menyiapkan satu kertas kerja tentang usaha PKR mahu terus bekerjasama dengan PAS.

Timbalan presiden PKR yang juga menteri besar Selangor itu diminta menjelaskan tujuan dan rasionalisasi mengapa PH perlu bekerjasama dengan PAS ketika parti itu terus menerus menolak kerjasama dengan PH dan juga PKR.

Azmin telah diminta membentangkan kertas itu dalam mesyuarat Majlis Presiden PH akan datang.

Menurut Khalid, Amanah menyedari sikap PAS yang tidak mahu bersama PH itu sejak awal lagi kerana hampir kesemua pimpinannya mengenali parti Islam itu kerana mereka berasal darinya.

Baru-baru ini, Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi memaklumkan PAS akan bertanding 42 kerusi negeri di Selangor termasuk Kajang (kerusi Wan Azizah Ismail) dan Bukit Antarabangsa (Azmin).

Dalam PRU 13 lalu, PAS hanya bertanding 23 kerusi dan menang 15 darinya.

Menurut Khalid, sebelum ini ketika Iskandar Samad adalah pesuruhjaya PAS Selangor, kesemua 13 Adun PAS telah menghantar surat kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang meminta diberi ruang untuk berbincang dengan PH di Selangor.

“Namun ia telah ditolak oleh PAS. Bahkan kesemua unit PAS telah mempermainkan adun-adun ini sehingga Iskandar mendakwa mereka semua duduk dalam perigi buta, yang tidak tahu kepentingan mereka terus kekal dalam kerajaan negeri Selangor,” kata Khalid dalam forum itu.

Sementara itu seorang lag i ahli panel, Hasbie Muda yang juga  ketua Pemuda Amanah Terengganu berkata, sejak dari dulu lagi sejarah menunjukkan PAS selalu tidak setia dengan rakan kongsinya.

Dalam tahun 1960an di Terengganu, PAS pernah mengkhianati Parti Negara apabila mereka bekerjasama melawan Perikatan waktu itu.

“Ia menyebabkan kemudiannya, tiga Adun Parti Negara pimpinan Datuk Onn ketika itu menyertai Perikatan bersama lima wakil rakyat PAS sendiri melawan kerajaan negeri pimpinan PAS sehingga ia tumbang.

“Ia menunjukkan dalam keadaan yang getirpun PAS tidak menghargai rakan muafakatnya,” kata Hasbie bagi mengukuhkan hujahnya bahawa PAS tidak boleh diharapkan oleh rakan muafakatnya.

Katanya, suasana semasa dalamman parti juga sangat bahaya bagi mana-mana pihak mahu berkongsi dengan PAS.

“Dahulu PAS ada ramai pemimpin yang berkongsi kuasa tetapi kini kuasanya tertumpu kepada seorang individu,” kata Hasbie merujuk kepada kuasa yang dipunyai oleh Hadi yang sangat besar dalam PAS.

Menurut Hasbie, ketika Hadi adalah timbalan presiden parti, beliau pernah berkata dalam satu program untuk menarik pengundi Cina, PAS akan menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Namun, kata Hasbie, ia telah disanggah oleh Fadzil Noor kemudiannya.

Begitu juga Hadi pernah mahu bekerjasama dengan Umno sebelum ini tetapi ia telah disanggah oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan Mursyidul Am PAS ketika itu.

“Sekarang kuasa dalam PAS tertumpu kepada seorang individu ini,” kata Hasbie dalam forum yang dihadiri pimpinan dan penyokong Amanah Terengganu itu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.