PELUANG BN RAMPAS LEMBAH PANTAI CERAH, KATA SHAHRIZAT

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) berpeluang merampas kembali kerusi Parlimen Lembah Pantai berikutan program pembangunan berterusan yang dilakukannya untuk kesejahteraan rakyat, kata Ketua Pergerakan Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata usaha sedemikian nyata berhasil apabila rakyat kawasan itu dilihat kembali menyokong BN.

“Melalui pembangunan dan program teratur yang dijalankan di Wilayah Persekutuan, saya jangka peluang BN merampas semula Lembah Pantai adalah cerah sekali memandangkan sudah ada tanda-tanda kembalinya sokongan rakyat peringkat akar umbi di sini kepada BN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Lembah Pantai di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Umno bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Naib Ketua Umno bahagian Mohamad Abdullah, Ketua Pemuda bahagian Mohd Nazri Abdul Rahman dan Ketua Puteri bahagian Norsyahidah Hanim Mohd Salehuddin.

Shahrizat berkata menerusi bancian sikap pengundi yang dijalankan pihaknya, majoriti penduduk Lembah Pantai kecewa dengan wakil rakyat mereka Nurul Izzah Anwar yang didakwa jarang turun padang untuk bertemu dan membantu rakyat.

Beliau turut menyifatkan Nurul Izzah hanyalah ‘pemimpin media sosial’ yang tidak mengambil peduli masalah rakyat di kawasannya.

“Rakyat juga mempersoalkan sumbangan dan jasa yang telah dilakukan oleh wakil rakyat itu yang hanya sibuk dengan media sosial, sekadar bercakap sahaja walaupun sudah dua penggal memegang jawatan wakil rakyat kawasan ini.

“Kalau ada pun (turun padang) hanya simbolik. Ambil gambar dan masuk (muat naik) ke media sosial dan lepas tangan. Jadi, wakil rakyat itu hanya bertenggek sahaja atas jasa yang telah dibuat oleh BN.

“Saya juga sebagai bekas Anggota Parlimen di sini (Lembah Pantai) selama tiga penggal mahu bertanya sejak bila pembangunan di Lembah Pantai bermula dan di bawah (pentadbiran) pembangkang, apa pembangunan yang sudah dibuat?,” soalnya.

Sementara itu, Raja Nong Chik berkata beliau mahu mengemukakan cadangan kepada pucuk pimpinan Umno supaya Shahrizat bertanding di mana-mana kawasan di negara ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 kelak memandangkan Shahrizat mewakili 1.3 juta anggota Wanita Umno di Malaysia.

— Bernama

.