PELANTIKAN KHALID KE PRASARANA PERKUKUH ASPEK KESELAMATAN

PELANTIKAN bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar sebagai pengerusi kumpulan Prasarana Malaysia Bhd dijangka akan membantu mengukuhkan aspek keselamatan dalam perkhidmatan pengangkutan awam, kata menteri kewangan.

Najib Razak yang juga perdana menteri dalam jawapan bertulisnya hari ini berkata pelantikan Khalid berdasarkan pengalaman luasnya dan kemampuan sebagai pemimpin, yang sudah terbukti sepanjang berkhidmat dalam pasukan polis.

“Selain pengalaman, kualiti kepimpinan dan mengurus, pengalaman luas Khalid dalam keselamatan akan mengukuhkan aspek keselamatan dalam perkhidmatan pengangkutan awam yang disediakan oleh Prasarana,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bertarikh 16 November.

Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud sebelum itu bertanya mengenai kelayakan Khalid yang membolehkan beliau dilantik sebagai pengerusi Prasarana.

Pada 5 September, Bernama melaporkan Khalid dilantik sebagai pengerusi baharu Prasarana selain duta khas.

Pengumuman itu dibuat oleh Najib, yang berkata pelantikan Khalid sebagai duta khas bagi merangsang ikatan dalam usaha memerangi keganasan, ideologi ekstremis dan pemerdagangan manusia.

“Ini selari dengan pengalamannya dan hubungan baik antara Khalid dengan agensi keselamatan antarabangsa ketika berkhidmat sebagai ketua polis negara,” kata Najib dalam satu kenyataan.

Khalid menggantikan Ismail Adam sebagai pengerusi Prasarana, yang meletak jawatan pada 31 Ogos. Prasarana ialah syarikat berkaitan kerajaan yang ditubuhkan pada September 1998 bagi menguruskan pengangkutan awam di Kuala Lumpur.

Khalid bersara daripada pasukan polis pada 4 September selepas 40 tahun berkhidmat.

– https://www.themalaysianinsight.com

.