PELANGGAN TIDAK KISAH DOBI ‘UNTUK MUSLIM SAJA’

RATA-RATA pelanggan kedai dobi layan diri dilanda kontroversi di Muar, Johor tidak berdepan masalah dengan penarikan larangan terhadap pelanggan bukan Islam, tetapi tidak kisah jika ia diteruskan.

Bantahan dan kemurkaan Sultan Johor terhadap pemilik Elit Laundry mencetuskan rasa ingin tahu sesetengah orang, yang mengatakan mereka ingin menggunakan perkhidmatan kedai itu selepas kontroversi mengenainya tular di media sosial.

“Rumah saya pun dekat kawasan sini. Cuba sebab khas untuk orang Islam. Tapi kalau sudah tak ada, tak apalah. Saya okay sahaja.

“Kalau ada, ia boleh bagi pilihan kepada orang lain tetapi kalau tak ada pun tak jadi masalah besar,” kata Liza kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di premis itu.

Ini merupakan kali pertama dia berkunjung ke Elite Laundry dan mengakui berita yang tular di media sosial menyebabkan dia ingin mencuba.

Bagaimanapun, dia mendapati tiada lagi notis larangan kepada pelanggan bukan Islam dilihat di dobi itu.

Pada Rabu, pemilik kedai dobi yang enggan mendedahkan namanya, mengalihkan tanda larangan dan memohon maaf kepada orang ramai selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyuarakan rasa tidak puas hati dengan amalan diskriminasi itu.

Pada keesokan harinya, beliau memberitahu The Malaysian Insight yang dasar “untuk orang Islam sahaja” permulaannya adalah berdasarkan permintaan pelanggan.

Seorang lagi pelanggan, Farid Uddin, 31, berkata dia menggunakan perkhidmatan kedai dobi itu kerana berdekatan dengan kawasan tempat kerjanya.

“Saya tak kisah sama ada ia ‘untuk orang Islam sahaja’ atau tidak sebab. Dan kalau saya seorang yang cerewet dalam hal ini, saya tak nampak pun ada pelanggan bukan Islam ke sini,” katanya.

Nurul Azira Shahlan, 30, yang tinggal kira-kira 20 minit dari situ berkata, ia merupakan kali pertama menjejakkan kaki di situ.

Kontroversi yang tular di media sosial mendorong orang ramai untuk mencuba perkhidmatan di Elit Laundry. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussein, 29 September, 2017.
Kontroversi yang tular di media sosial mendorong orang ramai untuk mencuba perkhidmatan di Elit Laundry. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussein, 29 September, 2017.

Katanya, dia berkunjung di situ kerana tertarik dengan harga promosi lebih murah berbanding di tempat lain serta ingin tahu mengenai kedai dobi yang tular di media sosial itu.

“Saya datang sebab murah dan viral. Jadi nak tahu juga.

“Saya rasa okay dengan konsep ini (untuk pelanggan Islam). Saya tidak rasa macam racist kerana orang bukan Islam sekarang pun sudah bersikap terbuka. Banyak orang perbesarkan isu ini,”  katanya.

Kak Nor, 46, turut senada dengan Nurul Azira yang merasakan isu itu tidak perlu diperbesarkan kerana jika ada yang tidak boleh menerima konsep itu, mereka mempunyai banyak pilihan lain di situ.

Suri rumah itu berkata, dia sudah beberapa kali menjadi pelanggan di situ walaupun  di kawasan rumahnya terdapat kedai dobi layan diri tetapi Elit Laundry menjadi pilihan kerana berasa lebih yakin menggunakannya terutama dari segi kesucian.

“Sebelum ke kedai dobi, saya survey dahulu mana yang bagus. Tempat lain saya pergi sebelum ni bersih juga. Pemiliknya Melayu. Tapi yang ini (konsep mesra Muslim) saya tidak ada was-was dari segi kebersihan,” katanya.

Semasa kontroversi bermula, pemilik kedai dobi mempertahankan dirinya, dan mendakwa hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai orang Islam serta bukan bersikap perkauman.

Penasihat Majlis Agama Johor Noh Gadut dipetik sebagai berkata, orang Islam dan bukan Islam perlu memastikan pakaian mereka tidak bercampur dengan “najis mughallazah”, atau najis babi dan anjing.

The Malaysian Insight turut menemubual pelanggan kedai dobi layan diri berdekatan.

Menurut Nur Shahana Abdul Majid, 31, dia tidak mengetahui kewujudan dobi berkonsepkan “mesra Muslim” itu dan hanya menyedari selepas tular di media sosial.

Bagaimanapun, Nur Shahana berkata berminat untuk mencuba jika ia masih mengekalkan konsep yang sama.

“Memang tidak tahu di mana dobi tu. Kalau ada lagi, mahu juga mencuba. Di sini (dobi berdekatan) nak cakap suci tak adalah tetapi was-was juga sebab bercampur dengan pelbagai kaum yang bukan Islam,” katanya.

Tan, 35, pula berkata ia bukan masalah besar kerana mempunyai banyak pilihan dobi lain di kawasan berdekatan.

“Saya tidak kisah kerana kawasan ini banyak dobi. Kalau dia buka untuk orang Islam sahaja, saya boleh pergi ke tempat lain. Kita ada banyak pilihan,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.